Bapa berkerusi roda hulur RM50 untuk anak daftar kolej runtun hati warganet, ini perkongsian sebenar keluarga. 'Abah ingin tengok kita pakai jubah konvo'
KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Demikian ungkapan yang menggambarkan kasih sayang ibu kepada permata hati mereka.
Biarpun dalam keadaan uzur, seorang bapa baru-baru ini menjadi tular di laman sosial selepas video beliau menghulurkan wang perbelanjaan kepada anaknya menyentuh hati ramai.
Demi kasih sayang, Muslim Jabidin, 61, turut sama bersama keluarga menghantar anak kelima, Nurul Amira Masarah ke sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dalam jurusan Teknologi Maklumat.
Paling menjentik hati ialah ketika warga emas yang mengalami strok itu menghulurkan wang kertas RM50. Nurul Amira yang tidak dapat menahan sebak turut menitiskan air mata menyaksikan bapanya sanggup bangun dari kerusi roda demi menjalankan tanggungjawab itu.
"Tak cukup duit cakap, kata abah. Belajar elok elok Kak Teh," kongsi pemilik video pada kapsyen,
Momen sayu penuh makna itu dirakam kakak Nurul Amira iaitu Nurul Ain Natasya Muslim, 23.
Menurut Nurul Ain, rakaman itu dibuat secara spontan sejurus sebelum mereka sekeluarga pulang dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah (POLIMAS), Jitra Kedah.
"Saya memang suka rakam video bersama keluarga sebagai kenangan. Apabila rindu saya boleh tengok semua video-video tu.
"Waktu itu saya pun tak dapat nak tahan sebak tengok adik menangis masa sebab abah.
Lagipun itu memang rutin abah setiap kali anak-anaknya nak balik universiti," katanya dipetik daripada Astro Gempak.
Ujar penuntut semester dua ljazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan Universiti Teknikal Malaysia Melaka itu, beliau tidak menyangka video yang dimuat naik ke laman sosial TikTok menjentik hati ramai.
"Saya ada juga baca komen. Ada yang sedih kata saya memiliki apa yang mereka tiada iaitu emak dan ayah. Sedih pula rasanya dan saya ada beritahu abah. Abah pun tak sangka apa dibuat itu menyentuh hati ramai orang.
"Semoga adik (Nurul Amira) menjaga diri. Tidak membuat perkara memalukan kerana kita harapan keluarga.
"Emak dan abah tunggu kita habis belajar untuk tengok kita pakai jubah konvokesyen," katanya.
Komen yang ditinggalkan warga maya sangat positif dan penuh semangat. Bahkan ia juga mengimbau kenangan sesetengah daripada mereka.
"Alhamdulillah, bagus pakcik. Dalam keuzuran masih menunaikan tanggungjawap sebagai ayah."
"Gagahkan diri bangun dan hulur RM50. Moga dipermudahkan urusan keluarga ini."
"Hebatnya seorang ayah masih ingin tunai tanggungjawab dan tunjuk kuat depan anaknya. Moga lekas sembuh pakcik."
"Teringat dulu, arwah emak sempat hantar depan rumah sahaja masa hari daftar universiti. Masa tu arwah berkerusi roda, al-Fatihah."
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang