Sajian kari cendawan beracun punca bapa dan anak maut. 'Sawan, mulut berbuih'
SEBUAH keluarga dirundung duka apabila seorang bapa dan anak perempuan meninggal dunia serentak selepas menikmati semangkuk kari cendawan yang dimasak menggunakan cendawan pemberian rakan.
Disangka rezeki, namun hidangan itu bertukar menjadi sajian terakhir mereka bersama apabila kedua-duanya tiba-tiba rebah, mengalami sawan dan mulut berbuih tidak lama selepas makan.

Dua beranak, Boonpan, 78, dan anaknya, Wijitra, 40, dilaporkan jatuh sakit selepas menikmati hidangan tersebut di kediaman mereka di Chiang Rai, utara Thailand, pada 22 Ogos lalu.
Seketika selepas menghabiskan semangkuk kari tersebut, Boonpan tiba-tiba rebah, mengalami sawan dan mengeluarkan buih menerusi mulut.
Insiden itu mengejutkan ahli keluarga yang turut berada di rumah sewaktu kejadian.
Bimbang kejadian itu berpunca daripada makanan, ahli keluarga bergegas ke bilik Wijitra yang ketika itu berkunci, lalu menemui wanita tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kedua-duanya dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Menurut kakak sulung mangsa, Thatsanee, 49, keluarganya nyaris menjamah hidangan yang sama sebelum menyedari bapanya dan Wijitra jatuh sakit.
"Adik saya sebenarnya tidak gemar makan cendawan. Namun, seorang rakan memberinya sedikit dan dia meminta ibu memasaknya menjadi kari.

"Ada juga cendawan itu diberikan kepada saudara-mara, tetapi nasib baik mereka belum sempat memasaknya," katanya.
Trauma kehilangan dua nyawa serentak asbab cendawan, Thatsanee mengakui serik dan tidak lagi berani menjamah sebarang jenis cendawan.
"Sukar untuk membezakan yang mana boleh dimakan dan yang mana beracun," menurutnya.
Tragedi berkenaan menimbulkan banyak persoalan tentang bahaya cendawan liar dan risiko menerima bahan mentah tanpa pengesahan.
Sementara itu, Kapten Polis Boonchuay Kanthawong dari Balai Polis Mae Chan berkata pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang tanda serangan pada tubuh mangsa dan sampel cendawan telah dihantar ke Hospital Chiang Rai Prachanukroh untuk analisis lanjut.
Dalam perkembangan terkini, pihak berkuasa kesihatan Thailand turut mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati, memandangkan musim hujan kini menyebabkan peningkatan mendadak jumlah cendawan hutan beracun yang berbahaya dan boleh mengancam nyawa.
Sumber: Daily Mail
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

