Sedalam 50 meter! Lubang benam di Bangkok undang cemas, paip bocor dan hujan lebat jadi punca 

No Image Caption
A
A
A

TULAR di laman sosial lubang benam yang terjadi di Bangkok sedalam 50 meter, dikatakan berpunca dari paip air pecah.

Sebahagian jalan raya sibuk di ibu negara Thailand runtuh awal pagi Rabu, membentuk lubang di hadapan sebuah hospital utama dan memaksa pemindahan penduduk di kawasan berhampiran.

Kejadian berlaku di luar Balai Polis Sam Sen dan Hospital Vajira yang terletak di sebuah kawasan perumahan di Bangkok itu menyaksikan lubang sedalam kira-kira 50 meter (kira-kira 160 kaki) 'menelan' kabel elektrik serta sistem paip air pecah, menurut pemerhatian wartawan AFP di lokasi.

Mujur, pemandu serta penumpang trak pikap tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada mangsa lain dilaporkan dalam insiden itu.

Puluhan pegawai polis dan pihak berkuasa bandaraya mengepung kawasan kejadian manakala sebuah trak pikap dilihat nyaris terjunam di tepi lubang besar tersebut!

No Image Caption

Pengarah Jabatan Pencegahan Bencana Bangkok, Suriyachai Rawiwan, memberitahu AFP bahawa runtuhan itu berkemungkinan berpunca daripada hujan lebat baru-baru ini dan paip bocor di bawah tanah.

"Terdapat kebocoran pada paip air dan air dari paip itu menghakis tanah di bawah jalan sehingga menyebabkan kejadian ini berlaku.

Artikel Berkaitan:

Artikel berkaitan:

"Air yang menghakis permukaan tanah itu turut membawa turun sebahagian besar tanah ke kawasan pembinaan stesen MRT di bawah tanah yang masih dalam kerja-kerja pembinaan, sekali gus mencetuskan runtuhan," katanya, sambil menambah bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Terowong tersebut adalah sebahagian daripada laluan bawah tanah yang sedang dibina oleh Pihak Berkuasa Transit Rapid Massa (MRTA) milik kerajaan, yang memaklumkan bahawa mereka akan menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian itu.

Suriyachai turut mengesahkan, Balai Polis Sam Sen yang terletak bertentangan kawasan runtuhan telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Pegawai kanan polis, Sayam Boonsom, turut mengarahkan pemindahan penduduk dari beberapa blok apartmen berhampiran berikutan risiko tanah mendap.

No Image Caption

"Lokasi kejadian berada berhampiran stesen MRT dan tanah telah disedut masuk ke kawasan pembinaan… lalu runtuh," jelas Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, kepada AFP ketika ditemui di lokasi.

Sebuah video yang dimuat naik di media sosial dan telah disahkan oleh AFP menunjukkan beberapa individu berlari dari kawasan pembinaan di Jalan Samsen, sejurus sebelum jalan tersebut merekah dan runtuh, mendedahkan lubang besar yang dipenuhi air.

Sementara itu, Hospital Vajira iaitu sebuah hospital pengajar bagi salah satu universiti perubatan terkemuka Thailand memaklumkan dalam satu hantaran Facebook bahawa mereka menggantung sementara perkhidmatan pesakit luar, dan akan sambung semula secepat mungkin.

Seorang kakitangan hospital, Noppadech Pitpeng, 27, yang tinggal di bangunan berhampiran berkata beliau terkejut apabila terdengar bunyi gegaran yang kuat pada pagi kejadian.

"Bunyi itu seperti tiang elektrik tumbang dan seluruh rumah saya bergegar," katanya sambil membawa pakaian keluar menggunakan baldi besar.

Sumber: AFP

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang