Serah mas kahwin RM765,000 & hantaran Toyota Camry, lelaki 74 tahun kahwin gadis 24 tahun nafi beri cek palsu, kereta sewa
CINTA tak mengenal usia, itulah ungkapan yang sesuai menggambarkan warga emas dikenali sebagai Tarman, 74, dan isteri, Sheila Arika, 24.
Biarpun jarak usia 50 tahun, pasangan dari Dusun Sidodadi, Desa Jeruk, Kecamatan Bandar, Pacitan, Jawa Timur selamat diijabkabulkan dalam majlis mewah.
Antara diberikan Tarman kepada Sheila ialah sebuah Toyota Camry sebagai hantaran dan mas kahwin yang cukup lumayan berjumlah tiga bilion rupiah (RM765,855) dalam bentuk cek.
Tidak hanya itu, Tarman melarang tetamu memberikan wang sebaliknya dia menyerahkan sampul berwarna dengan tulisan 'Selamat Pengantin Baru Sheila & Tarman' yang mengandungi wang tunai berjumlah 100,000 rupiah (kira-kira RM25.53) kepada para tetamu yang hadir semasa majlis perkahwinannya.
Pun begitu, pihak keluarga pengantin perempuan mula mempersoal hantaran dan mas kahwin yang dijanjikan selepas dipercayai mendapati cek yang diberikan adalah cek kosong manakala kereta pula kereta sewa.

Malah, segala kos perbelanjaan majlis pernikahan itu juga telah dikeluarkan keluarga pengantin perempuan.
Lebih mencurigakan, ada dakwaan mengatakan pengantin lelaki telah melarikan diri.
Tidak mahu terus difitnah, Tarman akhirnya tampil buat penjelasan. Dalam laporan Surya.co.id, Tarman menegaskan, wang mas kahwin memang wujud dan tersimpan dalam akaun bank miliknya.
"Duit itu memang ada dalam akaun bank saya.
"Saya tak lari pun, sekarang tengah berbulan madu dengan isteri," kongsinya.

Viva.co.id pula melaporkan ibu kepada pengantin perempuan, Kana Kumalasari berkata anak dan menantunya itu kini sedang berbulan madu.
Penafian itu dibuat oleh pihak keluarga pengantin perempuan ketika disoal siasat oleh wakil pihak berkuasa dari Pejabat Desa dan Balai Polis Sektor (Polsek) Bandar yang hadir ke kediaman Sheila bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu cek palsu dan dakwaan Tarman menghilangkan diri.
Pihak keluarga memaklumkan, pasangan berkenaan kini berada di luar kawasan, dipercayai sedang berbulan madu ke daerah Ponorogo dan Purwantoro, Wonogiri.
Mereka juga berpendapat kemungkinan pasangan itu sedang berusaha mencairkan cek mas kahwin bernilai tiga bilion rupiah itu.
“Sabar, tunggu sahaja hingga esok (hari ini). Kita akan lihat sama ada cek itu boleh ditunaikan dan mereka membawa pulang wangnya,” tambahnya.
Sebelum ini, perkahwinan itu menjadi tular di media sosial bukan sahaja kerana perbezaan usia pasangan pengantin yang mencecah 50 tahun, malah mas kahwin yang luar biasa jumlahnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

