Kenduri kahwin 18 lauk, siap ‘doorgift’ anak ayam, ikan keli & arnab raih perhatian: 'Hanya berkongsi rezeki, bukan menunjuk'

No Image Caption
A
A
A

JIKA memenuhi jemputan ke majlis kahwin, pasti kita akan dibekalkan dengan buah tangan sama ada gula-gula, sudip comel atau bahulu sebelum pulang. Namun, pasangan pengantin baharu dari Perak ini buat semua orang ternganga.

Nornikman Mohd Yusoff, 39, dari Sungai Malau Luar, Selama, dan isterinya, Anis Amirah Abd Samat, 29, dari Changkat Lobak, Bagan Serai, tidak sekadar memberi cenderamata biasa, mereka memilih haiwan ternakan sebagai doorgift!

No Image Caption

“Idea ini datang daripada pengalaman saya sendiri. Bidang penternakan adalah sumber rezeki utama saya, jadi terfikir, mengapa tidak kongsi sedikit rezeki ini dengan tetamu yang hadir? 

"Ini bukan paksaan, cuma pilihan bagi mereka yang berminat jika nak bawa pulang,” kongsi Nornikman ketika ditemu bual secara eksklusif oleh SinarPlus.

Pasangan itu saling mengenali selama setahun sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga. 

Dalam tempoh itu, mereka saling memahami minat dan cita-cita masing-masing, termasuk keinginan Nornikman untuk memartabatkan bidang pertanian dan penternakan dalam masyarakat.

Untuk majlis mereka, Nornikman menyediakan lima jenis haiwan ternakan sebagai pilihan: anak ayam (2,000 ekor), anak itik (350 ekor), anak burung puyuh (2,000 ekor), anak arnab (100 ekor) dan anak ikan keli (1,500 ekor). 

No Image Caption

"Tetamu pulang dengan “door gift” yang unik dan jarang sekali diberikan iaitu anak ayam berwarna-warni, anak itik serta arnab. 

"Semua haiwan dihantar pada hari kenduri dengan penjagaan rapi dan diberi makan serta ditempatkan di kawasan teduh oleh pembekal.

“Tetamu boleh pilih mengikut kesesuaian masing-masing. Doorgift sebenar tetap makanan ringan, sudip, senduk, bahulu dan dompet,” jelas Nornikman.

18 JENIS LAUK, CABUTAN BERTUAH

Majlis kenduri itu juga meriah dengan gotong-royong penduduk kampung dan vendor makanan yang menyediakan 18 lauk utama, 10 lauk sampingan serta 10 jenis minuman. 

No Image Caption

Antara lauk utamanya ialah ketam masak lemak, siput sedut masak lemak, kambing masak kurma, kambing golek, gulai kepala ikan dan banyak lagi. Lebih menarik, setiap tetamu yang hadir juga diberikan nombor untuk cabutan bertuah dengan hadiah yang tidak kurang hebatnya, termasuk tiga ekor lembu, 10 ekor kambing, dua buah motosikal, kerusi urut serta hamper.

Apabila idea unik ini menjadi tular, pasangan ini mengakui terharu dengan sambutan yang diterima. 

“Saya sangat bersyukur dan gembira. Ini memberi ruang untuk berkongsi kisah jatuh bangun sebagai usahawan penternakan, dan mungkin boleh memberi inspirasi kepada orang lain. 

"Rezeki yang dikongsi, insya-ALLAH, akan membuka lebih banyak pintu kebaikan,” ujar Nornikman dengan nada penuh keikhlasan.

Tidak semua komen bersifat positif, namun pasangan ini memilih untuk menerima segala pandangan dengan hati terbuka. 

No Image Caption

“Yang penting, niat kami ikhlas. Kami cuma mahu berkongsi rezeki, bukan untuk menunjuk atau menyusahkan sesiapa. 

"Bab pandangan serong segelintir masyarakat, kami sekeluarga tidak ambil hati. Sedar bahawa setiap perkara pasti ada pelbagai reaksi,” tambahnya lagi.

Sementara itu, pengantin perempuan pula mengakui, pengalaman tersebut membuktikan bahawa berkahwin bukan sekadar majlis indah, tetapi juga peluang menyemai kebaikan.

No Image Caption

 “Memang berbeza daripada biasa, tetapi kami percaya jika niat baik dan sentiasa berfikiran positif, itu adalah kunci kejayaan,” kata Anis lagi.

Dengan langkah kreatif ini, pasangan pengantin berkenaan bukan sahaja berjaya menjadikan majlis kahwin mereka lebih bermakna dan unik, malah turut menyebarkan mesej bahawa penternakan adalah kerjaya yang boleh dibanggakan. 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang