BERATUS ribu ikan mati dalam takungan di wilayah Dong Nai di selatan Vietnam disebabkan gelombang panas dan pengurusan tasik yang teruk.

Seperti kebanyakan Asia Tenggara, sekolah terpaksa ditutup awal dan penggunaan elektrik meningkat di selatan dan tengah Vietnam kerana kepanasan haba yang tinggi.

“Semua ikan di dalam takungan Song May mati kerana kekurangan air.

“Kehidupan kami telah tunggang langgang sejak 10 hari lalu kerana bau,” kata seorang penduduk tempatan di daerah Trang Bom.

Gambar turut menunjukkan penduduk mengharungi dan menaiki bot melalui takungan Song May seluas 300 hektar itu dengan air seolah-olah diselimuti ikan mati.

Menurut laporan media, kawasan itu tidak mengalami hujan selama berminggu-minggu, dan air di dalam takungan terlalu rendah untuk hidupan marin itu bertahan.

Wanita itu memaklumkan pengurusan takungan sebelum ini telah membuang air sebagai usaha menyelamatkan tanaman di hilir.

“Mereka kemudian cuba mengubah suai takungan, membawa masuk pam untuk mengeluarkan lumpur supaya ikan mempunyai lebih banyak ruang dan air,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, usaha tersebut tidak membuahkan hasil. Sebaliknya, menyebabkan banyak ikan mati.

Dalam pada itu, Akhbar Tuoi Tre melaporkan bahawa, firma yang bertanggungjawab menguruskan tasik itu telah mula mengorek pada awal 2024.

Mereka pada mulanya merancang untuk melepaskan air tambahan ke dalam takungan untuk ikan.

Iklan

“Tetapi disebabkan gelombang haba yang berterusan, pelabur melepaskan air ke kawasan hilir, menyebabkan paras air turun dan beratus ribu ikan mati,” katanya.

Takungan itu adalah sumber air untuk tanaman di daerah Trang Bom dan Vinh Cuu di wilayah Dong Nai.

Menurut ramalan cuaca, suhu di wilayah Dong Nai, 100 kilometer barat Bandaraya Ho Chi Minh, mencecah sekitar 40 darjah Celsius pada April, memecahkan rekod suhu tinggi yang dicatatkan pada 1998.