Telefon terjatuh dalam kandang panda gara-gara leka ambil foto. Tindakan anak muda bikin ramai cuak

GARA-GARA telefon bimbit jatuh ke dalam kandang sekumpulan panda, seorang remaja sanggup membahayakan diri semata-mata mahu mengambil peranti berkenaan.

Lapor The Guardian, pemuda berkenaan pada awalnya menggunakan telefon pintarnya untuk merakam video-video haiwan di Zoo Adelaide.

Namun, tanpa disedari telefon itu terlepas daripada genggaman dan terjatuh di kawasan hutan buluh.

Tanpa memikirkan keselamatan diri, mangsa dengan segera melompat masuk ke dalam sangkar berkenaan.

 

Kredit foto: Terje Sollie

Tindakannya dikesan oleh pekerja zoo dan dengan pantas mereka mengaktifkan protokol keselamatan untuk menyelamatkan mangsa.

Disebabkan itu, kakitangan taman haiwan berkenaan terpaksa mengeluarkan arahan lock down di kawasan sekitar supaya proses mengeluarkan remaja daripada kandang berjalan lancar.

Remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun beliau dikatakan telah bersentuhan dengan wayar elektrik.

Menurut Ketua Eksekutif, Zoo Adelaide, Elaine Bensted, petugasnya dapat mematikan penggunaan wayar panas yang digunakan untuk melindungi haiwan di kawasan itu dan mereka menggunakan tangga untuk menyelamatkan mangsa.

Baca juga: Pertandingan namakan anak kambing gurun jantan, dapat hadiah tiket zoo percuma

“Setelah selesai, remaja berkenaan beritahu yang jarinya berasa kebas kerana bersentuhan dengan wayar elektrik itu, namun kami rasa bersyukur kerana tiada kecederaan yang lebih teruk terjadi.

Kredit foto: Diana Silaraja

“Bagaimanapun, mangsa masih memerlukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Dalam pada itu, SinarPlus ingin menyingkap kembali, kejadian-kejadian ngeri yang pernah berlaku di taman haiwan. Berikut perinciannya:

1. Kanak-kanak perempuan ditolak masuk ke dalam sangkar beruang oleh ibunya
– Kejadian berlaku di Zoo Uzbekistan telah berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup yang memaparkan seorang wanita sanggup menghumban anaknya ke dalam sangkar beruang.
– Tidak lama kemudian, beruang menghampiri kanak-kanak malang itu, namun berjaya diselamatkan oleh petugas taman haiwan berkenaan.
– Insiden tersebut telah menyebabkan si ibu disiasat kerana cubaan membunuh.

2. Kanak-kanak perempuan maut dibaham singa

Iklan
Kredit foto: Kevin Bidwell

– Kegembiraan sebuah keluarga menyambut percutian Hari Raya Aidilfitri telah bertukar tragedi apabila anak perempuan mereka maut dibaham singa.
– Kejadian berlaku di sebuah zoo di Bandar Dinder, 400 kilometer di selatan Khartoum, Dubai apabila mangsa dipercayai diserang oleh seekor singa.
– Difahamkan ahli keluarga mangsa bersama beberapa orang pengunjung lain turut sama-sama membantu melepaskan cengkaman singa namun, usaha itu tidak membuahkan hasil.

3. Kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam sangkar Citah

Kredit foto: Michael M

– Kejadian berkenaan berlaku di Cleveland Metroparks Zoo, Amerika Syarikat apabila seorang kanak-kanak lelaki terlepas daripada genggaman tangan ibunya lalu terjatuh.
– Kanak-kanak itu telah berjaya diselamatkan oleh petugas taman haiwan.
– Rentetan daripada insiden itu, mangsa mengalami luka pada bahagian kaki akibat daripada terjatuh dan bukannya disebabkan oleh Citah.

Memandangkan sekarang musim cuti persekolahan, SinarPlus ingin mengingatkan kepada ibu bapa untuk sentiasa mengawasi gerak-geri anak anda.

Elak biarkan mereka berjalan berseorangan dan sentiasa waspada kepada amaran papan tanda untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Iklan

Baca juga: Kanak-kanak maut dibaham singa, tragedi percutian Aidilfitri

Baca juga: 24 anak kecil, guru taska hamil maut, berikut kronologi kes amuk tragis bekas polis di Thailand

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi