[VIDEO] Bersungguh simpan wang beribu-ribu ringgit di bawah katil, tiba-tiba dimakan anai-anai. Wanita malang ini menangis tak berlagu...
AMALAN menabung memerlukan iltizam yang begitu tinggi. Jika tidak, sukar untuk kita mendisiplinkan diri bagi menyisihkan sebahagian daripada wang hasil kerja yang dilakukan.
Bayangkan hasil tabungan penat lelah atas usaha kita selama ini hilang sekelip mata begitu sahaja. Ia bukan disebabkan sikap boros atau disebabkan kejadian tidak diingini seperti kecurian.
Sebaliknya, duit kertas yang disimpan selama bertahun-tahun musnah dimakan oleh anai-anai!
Demikian kisah yang berlaku kepada seorang wanita di Indonesia apabila video mengenainya tular di media sosial baru-baru ini.
Wanita yang dikenali sebagai Nurhaya, 49, terpaksa menerima kenyataan perit apabila wang simpanannya berjumlah Rp15 juta (RM4,290) 'lebur' angkara haiwan kecil berkenaan.
Kepada portal berita berpengaruh Indonesia, Kompas, Nurhaya yang tinggal di Kecamatan Iwoimendaa, Kabupaten Kolaka, Sulawesi Tenggara itu berkata, wang berkenaan disimpan bawah katil sejak lebih setahun lalu.Katanya, beliau berhasrat untuk mengubah suai kediamannya menjadi lebih selesa dengan hasil disiplinnya menabung.
"Saya menyimpannya di bawah tilam supaya lebih mudah apabila mahu menggunakannya.
"Apabila saya rasakan wang itu sudah cukup untuk membeli bahan binaan, malangnya ia tidak dapat dilakukan kerana wang itu dimakan anai-anai," katanya.
Peristiwa dialami Nurhaya yang juga seorang janda itu dirakam menerusi video dan tular menerusi media sosial kebekalangan ini.
Video berkenaan memaparkan tangisan wanita itu apabila membongkar beg plastik hitam yang berisi wang simpanannya yang musnah dimakan anai-anai.
Ada beberapa orang turut menyaksikan peristiwa berkenaan dalam video pendek tersebut. Video itu kemudiannya tular di media sosial.
Simpati dengan nasib yang menimpanya, penduduk tempatan telah menasihatkan Nurhaya supaya membawa wang tersebut ke bank untuk ditukarkan.
Ternyata rezeki masih menyebelahinya. Biarpun tidak dapat menukar Rp15 juta sepenuhnya, tetapi Nurhaya masih memperoleh ganti sebanyak Rp900,000 (RM257).
Kisah berkenaan turut menarik perhatian pihak berkuasa tempatan iaitu Lembaga Penjamin Simpanan (LPS) di negara berkenaan.
Setiausaha LPS, Muhamad Yusron berkata, kejadian itu menjadi pengajaran kepada orang ramai agar menyimpan wang di dalam bank.
Apatah lagi ia melibatkan jumlah yang begitu besar, ujarnya.
"Sayang sekali wang yang dihajatkan untuk memgubah suai rumah kini dimakan anai-anai dan tidak bernilai lagi."Jika wang itu disimpan dalam bank, ia selamat dan boleh diambil pada bila-bila masa. Andai bank itu bankrap, pihak kami akan menjaminnya.
"Apabila wang disimpan di dalam rumah, pelbagai risiko boleh berlaku seperti kecurian, kebakaran dan sebagaimana yang berlaku dalam kes ini," katanya sebagaimana dipetik menerusi jawapos.com.
Untuk rekod, Indonesia mempunyai 110 bank umum dan sekitar 1,700 Bank Perkreditan Rakyat.
https://www.tiktok.com/@cheetoss227/video/6914137517788908801?sender_device=pc&sender_web_id=6916733317400987137&is_from_webapp=v1
Sumber & Foto: Kompas.com & jawapos.com
Video: Tiktok @cheetoss227
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang