Wanita bakal masuk 3 'series' nekad belanja RM6,600 cari jodoh, dua calon dalam senarai pendek. 'Mahu lelaki heteroseksual, berani...'

MENEMUI pasangan hidup bukanlah semudah petik jari. Namun, ada yang lebih selesa menunggu tanpa berusaha, dengan keyakinan bahawa jodoh pasti akan datang dengan sendiri.
Namun, berbeza bagi wanita berusia 29 tahun ini yang sanggup berhabis hingga S$2,000 (RM6,600) demi mencari cinta sejati.
Baru-baru ini, wanita yang dikenali sebagai Bella Dai berkongsi melalui akaun instagramnya memaklumkan beliau kini secara aktif mencari pasangan hidup.
Dalam hantaran tersebut, Dai secara terbuka memuat naik poster menawarkan ganjaran RM6,600 kepada sesiapa yang berjaya memperkenalkannya kepada pasangan ideal, lengkap dengan senarai kriteria lelaki idamannya.
"Antara kualiti yang dicari termasuk lelaki heteroseksual berusia 25 hingga 42 tahun yang menetap di Singapura, memiliki kepakaran dalam bidang yang diceburi, berminat dalam kesejahteraan dan kecergasan, berani menghadapi perbincangan sukar, serta terbuka untuk meneroka aspek spiritual bagi pembangunan diri,"tekannya.
Walaupun nampak seperti peluang mudah dengan hanya perkenalkan seseorang dan terima ganjaran tetapi jangan tersilap!
Wanita yang bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-30 ini sebenarnya menetapkan beberapa syarat ketat bagi tawaran tunai tersebut.
Dai menegaskan, perkenalan melalui 'blind date' itu bukan sekadar suka-suka. Individu yang memperkenalkan pasangan kepadanya hanya akan menerima ganjaran sekiranya hubungan tersebut berjaya bertahan sekurang-kurangnya enam bulan dan mencapai tahap komitmen yang serius.
Wanita yang dilahirkan di Chengdu, China itu berpindah ke Singapura sejak usia 15 tahun dan memperoleh ijazah dalam seni reka bentuk dari Universiti Teknologi Nanyang.
Menurutnya, idea tersebut tercetus selepas berbual dengan seorang rakan, yang membuatkannya terfikir bagaimana jika konsep jual beli boleh diaplikasikan dalam kehidupan peribadi, khususnya dalam mencari pasangan?
“Saya sedar bahawa cabaran dalam mencari pasangan ialah proses pencariannya. Tiada seorang pun daripada rakan saya yang menggunakan aplikasi temu janji kerana niat pengguna di sana sangat tidak menentu,” kata
“Jika saya adalah satu produk, bagaimana akan memasarkan diri? Bagaimana boleh memberitahu rakan-rakan bahawa saya masih mencari pasangan?," ungkapnya.
Biarpun ada yang menyokong usaha bekas pereka industri berkenaan, tidak kurang juga yang mengecam, menganggapnya terlalu terdesak dalam mencari jodoh.
Dai yang juga penduduk tetap Singapura berkata, hubungan terpanjangnya bertahan selama empat tahun, dan hubungan terakhirnya berakhir pada 2020.
Siapa sangka sejak kempen itu dimulakan pada Februari lalu, Dai telah menerima lima cadangan daripada rakan-rakan, lengkap dengan profil Instagram dan LinkedIn calon pasangan.
Daripada lima calon tersebut, dua dianggap berpotensi menjadi calon, dan beliau sudah keluar janji temu sebanyak tiga kali dengan salah seorang daripadanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang