10 fakta ringkas majlis istiadat angkat sumpah Kabinet Malaysia 2021, 31 Menteri, 37 Timbalan Menteri

A
A
A

TERANG bulan bagai diukir

Pinang sendawa dari Mengkasar

Jangan Tuan berjanji mungkir

Tuntut dakwa di padang mahsyar

Mari diukir bertali-tali

Buah keranji di tengah laman

Jangan mungkir sekali-kali

Sudah berjanji bertapak tangan

Demikianlah pantun lama berkaitan jati diri kepimpinan. Ternyata pada bahu seorang pemimpin tergalas tanggungjawab, harapan dan impian rakyat.

Sebentar tadi baru sahaja selesai Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia tersebut berlangsung di Istana Negara, jam 2.30 petang tadi.

Seramai 31 Menteri dan 37 Timbalan Menteri Persekutuan mengangkat sumpah di hadapan Duli YangDuli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Tahniah diucapkan kepada barisan Kabinet Malaysia 2021. Berikut adalah 10 fakta mengenai istiadat tersebut.

1-Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat menghadiri istiadat berkenaan kerana dimaklumkan sedang menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

2-Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alami yang dilantik sebagai sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II tidak dapat hadir mengangkat sumpah jawatan, selepas disahkan positif Covid-19.

3-Majlis angkat sumpah itu dimulakan dengan tujuh menteri terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Fadzillah Yusuff, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Radzi Jidin, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk Seri M Saravanan.

4-Antara muka baharu yang mengangkat sumpah hari ini ialah Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Ahli Dewan Negara, Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

5-Empat lagi muka baharu ialah Yamani Hafez Musa (Timbalan Menteri Kewangan) Datuk Seri Ti Lian Ker (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (Timbalan Menteri Pertanian) dan Datuk Jalaluddin Alias (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan).

6-Dalam pada itu, Ahli Parlimen diserap kembali dalam Kabinet iaitu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pembangunan Luar Bandar).

7-Istiadat dimulakan dengan kumpulan pertama yang diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai kumpulan pertama tujuh menteri.

8-Upacara berkenaan diteruskan dengan sesi angkat sumpah kumpulan kedua menteri yang diketuai oleh Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man.

9-Dalam pada itu, Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa mengetuai kumpulan menteri yang ketiga.

10-Antara Menteri yang tiba bersama pasangan masing-masing bagi istiadat berkenaan ialah Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz bersama isteri, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad, Datuk Seri Reezal Merican hadir bersama isteri, Datin Seri Ismalina Ismail serta Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bersama suami, Mohamed Jauzi Abdul Razak.

Termeterai sudah janji pemimpin, memegang amanat negara dan harapan rakyat. Semoga dapat menerajui Malaysia sebaik-baiknya.

Harapan rakyat kepada barisan Kabinet baru ini agar mampu menangani isu pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan kekusutan politik negara dalam kadar segera.

Kredit pantun: Haji Ibrahim, 1877, Makalah Kepimpinan Dan Jati Diri Dalam Pantun Melayu 2012

Kredit Foto: Bernama

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca