Di sebalik kesalinghubungan Internet memberi manfaat kepada mereka yang menjalankan aktiviti lazim harian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, kemudahan itu juga mampu membawa keburukan.

Ketika PKP, pekerja dapat bekerja dari rumah manakala perniagaan boleh beroperasi secara dalam talian dengan adanya kesalinghubungan tersebut memandangkan semua orang berada di rumah dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Bagaimanapun susulan peningkatan ketara penggunaan Internet, penggodam demi kepentingan peribadi atau berniat jahat sedang menggunakan kemahiran mereka untuk mendapatkan data daripada pengguna dan data tersulit, sekali gus melanggar keselamatan komputer melalui pelbagai cara termasuk phishing atau memancing data.

Memancing data merupakan jenayah siber yang dilakukan menerusi e-emel, telefon atau mesej teks oleh pihak menyamar sebagai institusi yang sah untuk mendapatkan maklumat sensitif seperti maklumat peribadi, butiran perbankan dan kad kredit, serta kata laluan.

Daripada aplikasi persidangan video palsu sehinggalah aplikasi yang dipautkan dengan kerajaan seperti Pejabat Perdana Menteri serta Bank Negara Malaysia, penggodam ini mencari kelemahan demi kepentingan mereka di sebalik peningkatan penggunaan Internet.

CyberSecurity Malaysia, menerusi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) telah mengeluarkan beberapa garis panduan kepada pengguna Internet untuk mengurangkan risiko diserang dan kehilangan data peribadi mereka.

Antara darinya adalah seperti berikut :

1. Bagi persidangan video atau telesidang video (VTC) perlu menggunakan versi terkini VTC dan perisian keselamatan.

2. Hanya memuat turun perisian daripada laman web atau kedai aplikasi rasmi.

3. Kerap mengemas kini perisian dengan versi terkini serta tidak berkongsi maklumat sulit semasa mesyuarat selain jangan membincangkan sebarang maklumat sulit bagi mengelakkan kebocoran.

4. Membenarkan video dan audio tanpa boleh rakam dan menghadkan perkongsian fail.

5. Tidak berkongsi atau menerbitkan ID dan URL persidangan yang dihantar oleh penganjur.

Iklan

6. Segera log keluar daripada aplikasi apabila selesai mesyuarat.

7. Jika wujud kecurigaan, log keluar daripada VTC pelanggan dengan serta-merta.

8. Minimumkan risiko dengan tidak menyimpan butiran kewangan terutamanya nombor kad di laman membeli belah dalam talian.

9. Elak sama sekali daripada memautkan butiran peribadi anda kepada akaun media sosial anda.

Iklan

10. Jangan melakukan aktiviti perbankan menggunakan WiFi terbuka ataupun berkongsi butiran terperinci kad anda, kod pengesahan transaksi (TAC) atau butiran kata laluan sekali (OTP) dengan sesiapa sahaja.

Pengguna perlu lebih berhati-hati dan tidak menjadi mangsa kepada serangan siber.

Perlu diingat, telefon dan komputer riba dengan sambungan Internet kita sememangnya boleh mengisi kebosanan semasa PKP ini, namun ia juga boleh membuka banyak ruang kepada penggodam yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan daripada kelemahan kita semasa  tempoh getir ini.

Jadi, berwaspada! #juststayathome #janganputusasamalaysia