TAHUN ini dikatakan amat bersejarah kerana kita terpaksa hidup dalam norma baharu akibat pandemik Covid-19 menyerang dunia.

Namun dalam bergelut dengan virus tersebut, negara kita juga turut berhadapan pelbagai peristiwa berdarah di serata negeri.

Di sini SinarPlus rangkumkan peristiwa berdarah yang sangat menyayat hati sepanjang tahun 2020;

1.Pembunuhan Siti Nur Surya Ismail

Pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, berlaku pada 1 November 2020 di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu, Terengganu.

Beliau ditemui mati di rumahnya dalam keadaan tertiarap di bahagian ruang tamu rumahnya dengan pergelangan tangan kiri putus dan kesan kecederaan lain di bahagian muka dan badan.

Ketika kejadian ini berlaku pada jam 9 pagi, bapanya tiada di rumah, manakala Siti Nur Surya sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.

Suspek utama kes ini, yang juga rakan karib Siti Nur Surya, Siti Nur Athirah Azmi telah ditahan reman pada 2 November, sehari selepas kejadian bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Namun pada 16 November, Siti Nur Athirah, 19, didakwa di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Tingkatan Enam itu didakwa membunuh Siti Nur Surya di sebuah rumah di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong, pada 1 November lalu antara jam 8.30 hingga 9.30 pagi.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan tiada jaminan ditawarkan.

Engku Nurul Ain kemudian menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Berang.

2. Bunuh bapa ditegur main telefon

Kerana berang ditegur leka bermain telefon, seorang anak sanggup membunuh bapanya dengan pisau di rumah di Simpang Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan pada jam 9.30 pagi, 18 November lalu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa, Tan Yin Fah, 59, maut di tempat kejadian selepas ditikam suspek pada bahagian depan dan belakang badan.

Katanya selain suspek, ibu mangsa berusia 85 tahun turut tinggal bersama mangsa di rumah berkenaan.

Siasatan awal, ibu mangsa sebelum itu keluar berjumpa saudaranya berhampiran rumah dan tinggal mangsa bersama suspek sebelum berlaku pertengkaran.

Mangsa dipercayai memukul belakang suspek dengan kerusi plastik sebelum suspek menikam mangsa dengan pisau.

3. Bayi lelaki 8 bulan dibunuh kejam

Pada 13 Oktober, seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Wan Mohamad Afiq Wan Roslan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati termasuk badan dilumur garam dipercayai dibunuh bapa kandung menggunakan objek tumpul. Suspek juga dipercayai mengalami masalah gangguan mental.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek yang dipercayai membunuh anak di Kampung Sungai Dua, Bachok, Kelantan itu ada kaitan dengan ajaran sesat.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata ia berdasarkan cara bayi lelaki berkenaan dibunuh dengan seluruh badan dilumur garam
serta halusinasi yang dialami suspek.

4. Anggota PGA ditembak

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, maut akibat ditembak, awal pagi 24 November lalu.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah.

5. Bekas Pengarah MARDI ditetak

Pada 29 November lalu, Bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong maut selepas ditetak dalam kejadian samun di rumahnya di Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dengan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

6. Ejen insuran dibunuh

Seorang wanita yang juga ejen insurans ditemui maut dengan kesan lebam di leher dipercayai dibunuh rakan lelaki di rumah sewanya di Taman Mahsuri di Jitra, Kedah pada 3 Oktober lalu.

Siti Nor Sufieza Md Sharif, 23, ditemui terbaring di ruang tamu kediaman dengan lengkap berpakaian oleh rakan serumahnya pada 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, susulan itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun untuk siasatan
dan tindakan lanjut.

Iklan

7. Bapa berusia 75 tahun dibunuh

Seorang bapa berusia 75 tahun maut dibunuh anak lelakinya di rumah mereka di Kampung Rapat berhampiran Pasar Gunung Rapat, Ipoh pada 12 September.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 49 tahun dan mangsa
dipercayai terbabit dalam pergaduhan.

8. Bapa menikam bayi perempuan 18 bulan

Pada 12 Disember lalu, seorang lelaki yang juga pekerja kedai aksesori kenderaan menikam bayi perempuannya berusia 18 bulan hingga parah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah flat di Puchong Permai, Puchong, dekat sini, pada jam 4.30 petang, 12 Disember lalu.

Dia didakwa cuba membunuh dengan menikam perut anak perempuannya itu dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar selepas tertuduh, Muhammad Safwan Shafie, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit.

Tertuduh dilihat menangis apabila ditunjukkan gambar anaknya oleh mahkamah untuk tujuan pengecaman.

Baca juga 21 buah negara yang sudah ada jangkitan baru Covid-19

Iklan

9. Bakal ibu mentua ditetak

Pada 19 Disember pula, seorang wanita yang juga ibu kepada tunang suspek lelaki dikenali sebagai Habibah Abungon, 68, mati akibat ditetak.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang berada di rumah di Kota Marudu, Sabah itu turut cedera diserang suspek yang mengamuk selepas dikatakan enggan
memutuskan tali pertunangannya.

10. Bayi perempuan 20 bulan parah ditikam bapa dengan pisau pemotong roti

Di Subang Jaya, Selangor, seorang bayi perempuan berusia 20 bulan parah selepas ditikam bapanya yang dipercayai kurang siuman di Puchong Permai di sini, petang 12 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 4 petang ketika mangsa dan suspek berada di rumah.

Suspek yang berusia 27 tahun dikatakan mengamuk secara tiba-tiba dan bertindak menikam anak perempuannya itu menggunakan pisau pemotong roti.

Sepasukan polis yang menerima maklumat daripada ahli keluarga mangsa kemudiannya bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

Namun, kanak-kanak berkenaan menerima rawatan di Hospital Serdang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ini mungkin sebahagian peristiwa berdarah yang kekal diingatan rakyat Malaysia. Semoga tahun baharu ini, kes-kes sebegini tiada lagi berlaku di negara kita.