KEHIDUPAN yang sempurna adalah impian semua orang apatah lagi menerima khabar gembira bahawa diri sedang hamil.

Namun demikian, setiap orang mempunyai fasa pengalaman kehamilan yang berbeza-beza.

Ia bergantung kepada setiap individu, mungkin antara anda dapat merasai tanda awal kehamilan dengan mudah. Pun demikian, ada juga sebaliknya.

Kepada ibu muda khususnya, berikut SinarPlus kongsikan 10 tanda awal kehamilan yang mungkin akan berlaku:

1. Mengidam.

Ya, bunyinya seperti klise tetapi mengidam kadangkala boleh menjadi satu tanda kehamilan.

Janganlah bergantung kepadanya tanda itu sebagai simptom yang pasti, ia mungkin hanya dalam ‘pemikiran’ anda sahaja atau barangkali juga satu signal bahawa badan kekurangan nutrien tertentu.

Ingat, jika mengidam itu diikuti dengan beberapa petanda lain, maka mulalah mengira hari dari hari pertama dan haid terakhir.

2. Warna areola menjadi gelap.

Jika kulit di sekeliling puting payudara menjadi lebih gelap, ia mungkin bermakna proses persenyawaan telah berjaya.

Bagaimanapun, ia juga boleh berlaku akibat ketidakseimbangan hormon yang tidak berkaitan dengan kehamilan ataupun bekas daripada kesan kehamilan terdahulu.

3. Pendarahan atau kekejangan akibat implantasi.

Kira-kira lapan hari selepas ovulasi, seseorang berkemungkinan akan mengalami pendarahan implantasi iaitu terdapat tompok-tompok darah berwarna merah jambu atau coklat yang disertai bersama sedikit kekejangan.

Ini disebabkan telur membenam masuk ke dalam lapisan endometrium seperti keadaan yang sama menjelang kedatangan haid.

4. Kerap membuang air kecil.

Sebaik sahaja embrio melekat dan mula menghasilkan hormon human chorionic gonadotropin (hCG), mungkin proses membuang air kecil akan menjadi lebih kerap.

5. Keletihan.

Ketahuilah, tahap hormon progesteron yang tinggi boleh membuatkan badan berasa seperti baru selesai berlari maraton sedangkan hanya bekerja seharian di pejabat.

Keletihan adalah tanda penting awal kehamilan, walaupun ia mungkin bukanlah simptom yang pasti tanpa kehadiran simptom-simptom lain.

6. Payudara melembut dan membengkak.

Sebelum kedatangan haid, payudara akan menjadi begitu sensitif terhadap sentuhan dan jika disahkan hamil, perkara yang serupa akan berlaku tetapi pada tahap yang lebih sedikit.

Apabila badan sudah terbiasa biasa dengan peningkatan hormon berkenaan, kesakitan akan hilang secara beransur-ansur.

Iklan

7. Deria rasa berubah.

Sesetengah wanita mengatakan mereka merasa sedikit payau pada mulut dan sesetengah yang lain mengatakan mereka tidak dapat tahan rasa kopi, teh atau makanan yang biasanya mereka suka sebelum ini.

8. Alami morning sickness.

Jika bernasib baik, ibu yang mempunyai tanda awal kehamilan tidak akan mengalami mabuk hamil pada waktu pagi (morning sickness) sehingga beberapa minggu selepas persenyawaan.

Sesetengah wanita yang sangat bertuah tidak mengalaminya langsung, tetapi seawal dua hari selepas persenyawaan, berkemungkinan besar anda akan mula berasa loya dan tidak sedap perut.

Ia bukan sahaja akan berlaku pada waktu pagi, sebaliknya loya akibat kehamilan boleh jadi berlaku pagi, petang atau malam.

9. Tidak datang haid.

Iklan

Jika haid biasanya teratur dan kini ia lambat, elok juga jika segera membuat ujian kehamilan.

Tidak datang haid adalah tanda kehamilan yang paling pasti bagi seorang wanita yang telah baligh dan yang mempunyai kitaran haid yang teratur.

(Artikel berkaitan: Kitaran haid sering tidak menentu? Baru tahu inilah puncanya…)

10. Ujian kehamilan yang positif.

Jika telah menunggu untuk membuat ujian kehamilan sekurang-kurangnya beberapa hari tidak datang haid daripada tarikh yang sepatutnya dan garisan biru kelihatan dalam kotak alat penguji, sangat pasti akan menjadi seorang ibu.

Buatlah temu janji dengan doktor segera untuk memastikan berita baik itu dan selamat menempuhi fasa indah bersama si kecil. Tahniah!

Sumber: my.theasianparent.com