SUDAH hampir empat tahun Rosliana Ahmad, 26, berhadapan masalah kitaran haid yang tidak menentu. Sepanjang tempoh itu, beliau tidak mendiamkan diri sebaliknya beberapa kali mendapatkan nasihat pakar mengenai keadaan dirinya.

Kata Rosliana, setakat ini, tahap kesihatannya stabil, tiada apa yang perlu dibimbangkan beliau.

“Kadangkala dua bulan sekali baru haid saya datang. Sejak beberapa bulan lalu, pola haid hanya beberapa hari dan kuantitinya sangat sedikit. Bingung dibuatnya,“ ujarnya sambil memberitahu dua kakaknya turut berdepan dengan masalah yang sama.

Berkisar mengenai masalah Rosliana itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, Dr Aznizasuriati Burhan melontarkan pandangannya.

DR Anizasuriati.

Katanya, secara umumnya, kitaran haid yang bermasalah dikategorikan empat keadaan iaitu:

i) Masalah kitaran haid yang tidak normal iaitu oligomenorrhea (kitaran haid yang melebihi 35 hari), polymenorrhea (kitaran haid yang kurang dari 21 hari), amenorrhea (ketiadaan kitaran haid selama tiga bulan berturut)
ii) Masalah pengaliran darah haid yang tidak menentu seperti menorrhagia (pengaliran darah haid berat yang melebihi 80 mililiter), pengaliran darah haid melebihi tujuh hari dan pendarahan di antara dua waktu kitaran haid.
iii) Dysmenorrhea iaitu sakit senggugut yang berlebihan sewaktu kedatangan haid.
iv) Premenstrual Syndrome (PMS) iaitu ketidakselesaan fizikal dan emosi sebelum haid bermula.

“Kesemua empat keadaan itu perlu diberi perhatian. Amatlah penting seseorang wanita mengetahui corak unik kitaran haid dan mengenali kitaran haid normal untuk dirinya sendiri,“ ujarnya.

Dr Aznizasuriati berkata, masalah kitaran dan pengaliran darah haid yang tidak menentu sangat berkait rapat dengan hormon dalam badan.

“Namun begitu, ia juga disebabkan oleh banyak faktor lain seperti gangguan perubatan dan emosi, masalah fizikal serta kitaran tidur yang tidak menentu,“ katanya.

Bukan itu sahaja, pengambilan ubat-ubatan tertentu juga boleh menyebabkan haid menjadi tidak teratur. Contohnya, pengambilan ubat pil perancang yang tidak mengikut sela masa ditetapkan dan ubat-ubatan lain seperti ubat mencairkan darah.

“Oleh sebab kitaran haid berkait rapat dengan turun naik pola hormon yang normal, masalah kesihatan tertentu juga boleh menyebabkan haid menjadi tidak normal. Wanita yang mempunyai masalah dengan hormon tiroid selalunya mempunyai darah haid yang terlalu banyak dan tidak teratur,“ jelasnya.

Ujar beliau lagi, banyak masalah haid berlaku gara-gara ketidaktentuan hormon.

Antaranya sindrom ovarium polikistik yang menyebabkan kitaran haid yang tidak menentu sama ada terlalu panjang atau pendek dan tahap hormon prolaktin yang tinggi menyebabkan ketiadaan haid sama sekali.

Dr Aznizasuriati memberitahu, ketumbuhan dalam rahim, polip atau kanser juga mungkin menjadi penyebab masalah kitaran haid.

“Keadaan itu boleh menyumbang kepada aliran haid yang sangat banyak dan berketul-ketul. Situasi haid tidak teratur turut boleh berlaku akibat jangkitan pada saluran peranakan, kelainan anatomi pada faraj dan serviks termasuk masalah genetik,“ terangnya.

Masalah haid itu juga kata beliau, boleh disebabkan oleh keadaan semula jadi seperti tahun-tahun awal selepas mencapai akil baligh, menyusukan bayi, keguguran, tempoh selepas bersalin dan usia mendekati menopaus.

Pada masa sama, semasa dalam fasa haid, terdapat juga masalah sampingan lain iaitu senggugut.

Kitaran

Bagaimana untuk mengawal hormon supaya stabil?

Dr Aznizasuriati berkata, seseorang perlu menjalani hidup sihat, bersenam dengan kadar sederhana, mencapai berat badan ideal, menjaga pemakanan, mengelakkan stres berlebihan dan memastikan penyakit-penyakit kronik berada dalam keadaan terkawal.

“Pengambilan pil-pil hormon pula seharusnya berada di bawah pemantauan doktor dan mengikut kaedah yang betul,“ katanya lagi.

Mengulas lanjut, pakar itu berkata, kitaran haid adalah berbeza bagi setiap wanita. Maka, penting untuk mereka mengingati tarikh hari pertama haid setiap bulan terutamanya bagi mereka yang berada dalam usia reproduktif dan aktif secara seksual.

Iklan

“Terdapat ramai wanita yang mengalami kitaran yang tidak normal dan tersilap pengiraan. Situasi itu sebenarnya akan menyukarkan mereka mengira tempoh kitaran haid dan kesilapan menjangka haid yang seterusnya,“ ujarnya.

Menjawab pertanyaan adakah masalah haid di luar waktu kebiasaan merupakan petanda kesihatan seseorang itu bermasalah, demikian jawapan Dr Aznizasuriati.

“Ia bergantung kepada seseorang individu itu. Masalah haid yang lewat mungkin menunjukkan masalah dan mungkin juga tidak. Perkara pertama barangkali disebabkan wanita itu hamil.

“Namun, kadangkala ia merupakan perkara one-off bagi wanita terutamanya jika berlaku perubahan emosi atau fizikal.

“Selalunya, kitaran haid akan kembali normal pada waktu yang seterusnya. Sekiranya perkara tersebut berlarutan selama beberapa kitaran, mereka dinasihatkan berjumpa doktor.

“Hal ini perlu dilakukan kerana ada antara wanita yang memerlukan bantuan hormon luar bagi menetapkan semula kitaran haid agar menjadi normal,“ katanya.

Subjektif

Iklan

Sementara itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, Dr Nur Afidah Mat Yusof berkata, corak am haid normal seorang wanita sangat subjektif dan ia sama sekali tidak sama untuk semua kaum Hawa.

DR Nur Afidah.

“Secara ringkasnya, corak haid yang teratur biasanya setiap bulan atau 21 ke 35 hari. Ia boleh dikira dari hari pertama haid hingga hari sebelum haid yang seterusnya kerana ada wanita yang kitaran haidnya lebih panjang tetapi masih teratur,“ kata Dr Nur Afidah.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau menyarankan agar setiap wanita menanda pada kalendar sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan bagi mengetahui kitaran normal haid mereka sendiri.

Corak kitaran haid asas diklasifikasikan seperti berikut:

  • Tidak berpanjangan iaitu kebiasaannya antara tiga hingga tujuh hari.
  • Tidak terlampau banyak hingga kadangkala ‘bocor‘ dan perlu memakai dua tuala wanita atau darah berketul dan besar.
  • Corak haid boleh berubah mengikut umur sama ada remaja, pertengahan umur, pramenopaus dan persekitaran.

Mengulas mengenai satu laporan akhbar yang mengatakan kitaran haid tidak normal boleh menyebabkan risiko kematian awal, demikian reaksi Dr Nur Afidah.

“Laporan akhbar tersebut adalah terjemahan sepenuhnya daripada artikel bahasa Inggeris pada tahun 2019 yang mana sumber pembentangan oleh Dr Mitchell Kramer pada mesyuarat American Society for Reproductive.

“Laporan akhbar itu juga ada menyebut kajian berkenaan hanya bertujuan melihat hubungan haid tidak terkawal dan risiko mati awal sahaja tetapi ia tidak dapat membuktikan bahawa haid tidak teratur adalah penyebab kematian awal kerana ada banyak faktor lain yang tidak diterangkan secara khusus seperti obesiti, merokok dan sejarah keluarga,“ ujar Dr Nur Afidah.