APA reaksi kita apabila roti yang dibeli sudah tamat tempoh dan sudah berkulat?

Sebelum mengambil keputusan untuk membuang roti yang sudah luput atau masih ragu-ragu untuk memakannya, marilah kita sama-sama menghadam bagaimana mikroorganisma ini membentuk.

Menurut satu kajian yang telah dijalankan oleh National Library of Medicine, Amerika Syarikat, udara yang dihirup terdedah kepada debu dan spora yang sentiasa ada di sekeliling kita.


Untuk pengetahuan semua pembaca SinarPlus, mikroorganisma tersebut terdiri daripada alga, kulat, bakteria dan sebagainya.

Meskipun kulat spora tidak aktif dan menunggu masa untuk membiak, ia memerlukan perumah, persekitaran yang lembap dan suhu yang sesuai.

Memberi satu contoh situasi, apabila orang ramai membeli roti dan membawanya pulang untuk disimpan di dalam bilik, spora-spora berkenaan sudah mula menghinggapi permukaan roti selepas plastik dibuka.

Ia adalah kerana roti mempunyai kandungan air yang tinggi dan apabila adanya kedapan udara di dalam plastik, spora kulat berkenaan mula ‘berjinak-jinak’ secara perlahan-lahan meskipun dalam keadaan tiada pencahayaan.

Pun demikian, menurut rootofscience.com, kerosakan roti berlaku bukanlah berpunca daripada tarikh luput semata-mata tetapi boleh berlaku apabila berlaku keadaan-keadaan berikut:

i. Kerosakan kulat.

Berlaku selepas proses roti dibakar yang mana permukaan roti terdedah kepada spora atau penyimpanan terdedah kepada kelembapan dan suhu yang sesuai.

ii. Kerosakan yis.

Berlaku selepas proses roti dibakar apabila yis yang bermasalah, pichia butonii (kelihatan tompokan putih atau krim) dijumpai di bahagian pemotongan, penyejukan roti, saluran dan rak-rak.

iii. Kerosakan bakteria.

Berlaku semasa proses roti dibakar apabila spora bakteria, bacillus sp menghinggapi tepung dan yis.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika kita pernah melihat roti sudah berkulat, meskipun belum melepasi tarikh luput.

Penting untuk kita ketahui bahawa roti yang mempunyai tarikh luput hanyalah indikasi untuk menikmati kesegaran roti sebelum ia mengeras, kering atau berkulat.

Akibat, langkah pencegahan

Namun demikian, sekiranya kita telah memakan roti yang berkulat secara sedar atau tidak sedar, implikasi berbeza akan berlaku mengikut individu.

Iklan

Menurut researchgate.net, kebanyakan manusia mempunyai sistem imun yang normal dan tindak balas imun berupaya menghasilkan antibodi untuk memusnahkan mikroorganisma dan meneutralkan toksin di dalam badan.

Terdapat juga kesan sampingan yang boleh mengganggu penghadaman atau pernafasan apabila menghidu atau termakan roti yang berkulat.

Namun, bagi seseorang yang mempunyai tahap imun yang kurang atau individu yang mempunyai masalah kesihatan lain seperti asma, alergi dan sindrom imunodefisiensi (AIDS), kesannya boleh mengakibatkan jangkitan lebih teruk atau boleh membawa maut.

Berikut kaedah-kaedah yang disarankan oleh jabatan berkenaan untuk meningkatkan jangka hayat simpan dan mengelakkan kerosakan kulat yang cepat adalah seperti yang dicadangkan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat:

1. Bungkusan roti hendaklah diikat untuk mengelakkan roti terdedah lama oleh udara selepas membukanya. Kemudian, perlulah diletakkan di kawasan yang kurang lembapan.

Iklan

2. Sekiranya bungkusan roti disimpan di peti sejuk, ia akan melambatkan proses pertumbuhan kulat, tetapi akan berdepan dengan masalah kekeringan ataupun kulat boleh membiak jika ruang peti ais padat dan mengandungi kelembapan yang tinggi.

3. Saranan menyimpan roti di dalam sejuk beku digalakkan untuk menghentikan proses pertumbuhan kulat dan masa penyimpanan tidak boleh melebihi tiga bulan.


Oleh itu, tidak semestinya semua makanan yang telah berkulat akan serta-merta merosakkan atau membuatkan kita sakit.

Ketahuilah ia sebenarnya bergantung kepada jenis makanan yang dimakan. Jika ‘dipenuhi’ rasa was-was, sebaiknya cuba elakkan. Semoga bermanfaat.