SUDAH lebih setahun penduduk di seantero dunia mengharungi situasi penularan pandemik Covid-19.

Bahkan, tambah menakutkan apabila dari semasa ke semasa wujudnya varian baharu yang lmenjangkiti lebih cepat.

Nampaknya, Malaysia juga tidak terkecuali ‘terdedah’ pada kehadiran varian baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, terdapat tiga varian membimbangkan (Variant Of Concern-VOC).

Ia terdiri daripda 62 kes varian Afrika Selatan (B.1.351), lapan kes varian United Kingdom (B.117) dan dua kes varian India (B.1.617.1).

Beliau menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang digariskan.

Ini berikutan varian baharu Covid-19 telah menular ke beberapa negeri seperti Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan.

Daripada 62 kes varian Afrika Selatan tersebut, 14 kes dikesan yang mana tujuh kes Kluster Kampung Domis di Kelantan, tiga kes kontak rapat kepada kes aktif di Selangor dan satu kes menjangkiti petugas kesihatan di Kelantan.

Selain itu, dua kes di Kedah dan satu kes dikesan di Negeri Sembilan Kluster Pengkalan Hulu.

Lebih menakutkan, varian tersebut menular cepat dan kebanyakannya berakhir dengan kematian. Pada masa sama, cenderung menjangkiti golongan muda dengan gejala teruk.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan buat ujian rawak untuk mengenal pasti varian ini telah merebak ke negeri mana lagi,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Bagi varian India yang dikelaskan sebagai VOC oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, beliau memberitahu, seorang lelaki warganegara India meninggal dunia pada 21 April lepas.

Pesakit yang dijangkiti Covid-19 daripada varian itu pada 7 April dan dikuarantin pihak KKM.

Apa yang mengejutkan ialah walau pun mempunyai gejala, dua kali ujian calitan terhadap lelaki berkenaan menunjukkan keputusan negatif.

Situasi terbabit jelas menunjukkan varian itu sangat merbahaya.

 

Iklan

Selain itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan 80 peratus daripada jangkitan koronavirus, bukannya daripada kluster, tetapi kes sporadik iaitu tidak diketahui punca jangkitan.

“Ini menunjukkan yang virus telah ada dalam komuniti, kita jangka kes akan meningkat,” kata beliau sambil menambah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dapat mengekang penularan COVID-19.

Untuk pengetahuan korang, virus korona yang menyebabkan Covid-19 adalah sejenis SARS-CoV-2.

Sementara itu, varian baharu adalah jenis yang berbeza. Mungkin korang tertanya-tanya mengapa virus boleh bermutasi lebih kuat daripada sebelumnya.

Virus, walaupun tidak termasuk dalam kumpulan makhluk hidup berupaya bermutasi dari masa ke masa.

Sama seperti virus lain, virus Covid-19 juga bermutasi. Dengan bermutasi, virus dapat bertahan dan berkembang biak menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan hosnya yang baharu.

Iklan

Sama-samalah kita melakukan langkah 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan mengambil cakna amaran daripada KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Selain itu, elakkan 3C jauhi kawasan sesak (crowded place), elakkan kawasan sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat (close conversation).

Pada musim perayaan ini, elakkan bersalaman dan bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin.

Dapatkan rawatan segera jika bergejala dan kekal duduk di rumah .#kitajagakita

Sumber: RTM & BBC Indonesia