TANGGAL 1 Muharam pada setiap tahun mengingatkan umat Islam tentang peristiwa penting hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dari Makkah ke Madinah.

Bermula tarikh itu, perkembangan dan penyebaran dakwah Islamiyyah dengan lebih sistematik dan teratur. Rasulullah SAW dan para sahabat baginda menghadapi segala ancaman dan cabaran dengan penuh ketaqwaan dan keimanan kepada ALLAH SWT.

Selain menyambut Awal Muharam pada setiap awal tahun hijriah, umat Islam digalakkan agar tidak lupa bahawa dalam bulan Muharram juga terdapat sunnah yang sering dilupakan iaitu berpuasa pada hari kesepuluh.

Baca juga: Betul ke buku amalan kita dibawa naik ke langit pada malam Awal Muharram?

Baca juga: Ini kelebihan bulan Muharam yang perlu kita tahu

Justeru wanita, ambil peluang ini untuk menggandakan amalan dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun berkongsi lanjut berkaitan puasa dan amalan terbaik selepas bulan Ramadan pada bulan Muharam.

“Kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan puasa sunat pada bulan mulia ini kerana sebaik-sebaik puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa pada bulan Muharam,” kongsinya.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:

سُئِلَ أَيُّ الصَّلَاةِ أَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ وَأَيُّ الصِّيَامِ أَفْضَلُ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَقَالَ أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ صِيَامُ شَهْرِ اللَّهِ الْمُحَرَّمِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah ditanya, solat apakah yang paling utama setelah solat maktubah (wajib)? Dan puasa apakah yang paling utama setelah puasa Ramadan? Maka Baginda menjawab: Sebaik-baik solat setelah solat maktubah (wajib) adalah solat pada sepertiga akhir malam dan sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam.
(HR Muslim, hadis sahih)

Demikian juga terdapat sebuah hadis daripada Ali r.a., Rasulullah SAW bersabda:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمْ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ فِيهِ يَوْمٌ تَابَ فِيهِ
عَلَى قَوْمٍ وَيَتُوبُ فِيهِ عَلَى قَوْمٍ آخَرِينَ

Maksudnya: “Jika kamu ingin berpuasa selain bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan Muharam, kerana sesungguhnya ia bulan di mana Allah telah memberi taubat kepada kaumnya Musa dan memberikan taubat kepada kaum yang lain.”
(HR Tirmizi, Hadis Hasan Gharib)

Antara puasa sunat yang boleh dilakukan pada bulan Muharram ialah:

1. PUASA SUNAT ISNIN DAN KHAMIS

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.”
(HR Tirmizi, hadis hasan gharib)

Dalam sebuah hadis yang lain, Saidatina Aisyah RA berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.”
(HR al-Tirmizi, hadis hasan)

2.PUASA SUNAT TASU’A

Puasa Tasu’a berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu تِسْعَة (tis’ah) yang bermaksud sembilan. Puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharam dalam kalendar hijrah Islam.

Diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke sembilan (Muharram).”
(HR Muslim, hadis sahih)

Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a
نَوَيْتُ صَوْمَ تَاسُعَاء سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Tasu’a pada hari esok kerana Allah Ta’ala”.

3. PUASA SUNAT ASYURA
Asyura berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu عَشَرَة (‘asyarah) yang bermaksud sepuluh. Hari Asyura adalah hari yang ke sepuluh dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharam.

Pelbagai peristiwa yang telah berlaku pada hari tersebut. Disebabkan itu, umat Islam menghormati hari Asyura sepertimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Terdapat nas khusus berkenaan puasa hari ‘Asyura. Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA:
قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ‏”‏مَا هَذَا”‏‏.‏ قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى‏.‏ قَالَ ‏”‏فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ”‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah hari Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut.

Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)

Kata Ibnu Abbas RA apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

Iklan

Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari ‘Asyura.
(HR Bukhari, Hadis Sahih)

Daripada Abu Qatadah, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda:
أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.
(HR Muslim, hadis sahih)

Lafaz Niat Puasa Asyura
نَوَيْتُ صَوْمَ عَشُرَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari ‘Asyura pada besok hari kerana Allah Taala”.

4.PUASA SUNAT HARI PUTIH (AYYAMUL BIDH)
Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa pada hari putih (bidh) iaitu pada tiga belas, empat belas, dan lima belas. Beliau berkata; hari-hari tersebut umpama setahun”.
(HR Abu Daud, hadis sahih)

LAFAZ PUASA SUNAT AYYAMUL BIDH
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.

Ustazah Asma’ mengajak semua mengambil peluang bulan Muharram ini untuk berpuasa sunat.

“Sahabat, mari bersama ambil peluang ini untuk melazimi puasa sunat dalam bulan Muharam.

“Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan yang dimasukkan dalam Syurga ar-Rayyan seperti hadis berikut:

Daripada Sahal bin Sa’d r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ في الجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانِ يَدخُلُ مِنهُ الصَّائِمُونَ يَومَ القِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مِنهُ أَحَدٌ غَيْرُهُم

Iklan

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.”
(HR Bukhari dan Muslim, Hadis Sahih)

Semoga panduan yang diberikan ini membantu khususnya kaum Hawa dalam penerapan amalan yang disunatkan dalam mencari keredaan ALLAH SWT.

Berikut adalah tarikh penting sebagai panduan;

-7 Ogos 2022  = 9 Muharam 1444H, Hari Tasu’a.

-8 Ogos 2022 = 10 Muharam 1444H, Hari Asyura.

– 8, 9, 15, 16, 22, 25, 29 Ogos 2022  = Puasa Isnin dan Khamis

– 11, 12 dan 13 Ogos 2022 = Puasa hari putih

Sumber: Ustazah Asma’ Harun, JAKIM

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan