TELUR boleh dikatakan sajian paling ringkas yang paling senang sekali untuk dimasak di rumah.

Mereka yang tak pandai masak pun boleh lakukannya. Nak rebus atau nak goreng, terpulang kepada kecenderungan masing-masing.

Kepada mereka yang berdiet dan memang menjaga tubuh badan, telur adalah antara pilihan terbaik sumber protein untuk tubuh badan.

Namun, apa yang berlaku adalah ramai antara kita salah tanggapan atau dengan erti kata mudah, mempercayai mitos yang berlegar sehingga menjadi satu pendebatan hebat di luar sana.

Bagi meleraikan semua itu, seorang pakar pemakanan, Syaza Lyana Idris menjelaskannya dalam entri Facebooknya baru-baru ini.

Terlebih dulu katanya, hendak mengamalkan corak pemakanan yang betul, biar berdasarkan fakta bukannya mitos.

“Barulah diet yang dijalankan akan lebih berkualiti dan tidak stres,” tulisnya.

Berikut penjelasan Syaza Lyana yang menjawab 5 mitos popular tentang popular. Semoga pencerahan ini membantu anda semua.

i) Telur menyebabkan peningkatan kolesterol.

Ramai yang beranggapan bahawa makan telur dan makanan lain yang mengandungi kolesterol akan meningkatkan kolesterol dalam darah dan seterusnya menjadi penyebab risiko sakit jantung.

  • Faktanya: Kolesterol dalam makanan memang boleh mempengaruhi kolesterol dalam darah, tetapi sebenarnya majoriti kandungan kolesterol adalah dihasilkan oleh tubuh kita sendiri.

Kolesterol yang tinggi selalunya disebabkan oleh diet dan gaya hidup yang tidak sihat seperti stres, kurang tidur, merokok, kurang senaman dan lain-lain.

“Buktinya, ramai sahaja yang menjadi antitelur, namun, kadar kolesterolnya masih tinggi,” tambah pakar itu.

ii) Telur mentah lebih tinggi kadar protein.

Ramai juga yang beranggapan pengambilan telur mentah boleh membantu mendapatkan kadar protein yang lebih tinggi.

  • Faktanya: Kadar protein dalam telur adalah sama walaupun telah dimasak.

“Eleman yang berkurangan hanyalah dari segi vitamin dan mineral sahaja,” beritahunya.

Bagaimanapun, kita tidak digalakkan untuk makan telur mentah untuk mengelakkan risiko jangkitan salmonella.

Selain itu, penyerapan protein melalui telur yang telah dimasak adalah lebih tinggi berbanding telur mentah.

iii) Putih telur adalah lebih baik berbanding kuning telur.

Iklan

Tidak kurang hebatnya, ramai yang berdebat bahawa telur putih adalah lebih baik berbanding telur kuning.

  • Faktanya: Vitamin dan mineral pada telur lebih banyak terkandung dalam kuning telur. Antara vitamin yang ada seperti vitamin D, vitamin A, vitamin E, Choline, Lutein dan Zeaxanthin yang berfungsi untuk menjaga kesihatan tubuh badan.

“Jika tidak makan kuning telur, maka sebahagian mineral dan vitamin ini tidak diperoleh,” katanya.

iv) Kuning telur menyebabkan gemuk.

Pastinya, ada di antara kita yang takut untuk makan telur kuning kerana bimbang naik berat.

  • Faktanya: Kuning telur mengandungi protein dan zat bermanfaat seperti vitamin D dan choline yang mana membantu menyerap kalsium dan meningkatkan fungsi hati.

“Sebenarnya, ia dapat mengelakkan kejadian hati yang berlemak tau!,” beritahu Syaza.

Selain itu, menurut The American Heart Association pula, satu biji telur sehari bagus untuk amalan diet yang lebih sihat.

v) Wanita hamil tidak boleh makan telur.

Hakikatnya, perkara tersebut sering menjadi dilema buat semua wanita hamil kerana ‘ada larangan’ untuk pengambilan telur.

Iklan
  • Faktanya: Telur adalah sumber protein yang tinggi, vitamin, mineral dan asid amino.

Jadi, wanita hamil amat digalakkan untuk makan telur, ikan dan kekacang.

“Cuma, kena ingat. Wanita hamil perlu mengelakkan pengambilan makan telur yang mentah untuk elak risiko jangkitan samonella sahaja,” pesannya.

Oleh itu, tidak perlu gusar lagi dengan omongan-omongan tidak berasas mengenai telur.

Artikel berkaitan: Cara menikmati telur dengan kaedah yang betul. Jangan hanya makan putih telur sahaja, ini sebabnya

Apa-apapun, bersederhanalah dalam pengambilannya. Semoga bermanfaat!