PASTINYA, selain daripada memohon maaf pada pagi raya, Hari Raya Aidilfitri bagaikan tidak lengkap tanpa hidangan kegemaran ramai.

Terdapat pelbagai makanan istimewa yang khusus untuk menyambut lebaran antaranya seperti lemang, rendang, ayam masak merah, lontong termasuk ketupat.

Namun, paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia sudah pastilah ketupat.

Kalau nak diikutkan, terdapat beberapa jenis ketupat yang biasanya dibuat.

Antaranya seperti ketupat nasi (berbentuk segi empat), ketupat palas (berbentuk segi tiga) dan ketupat dakap (yang menggunakan daun pisang).

Penulis yakin, jenis yang paling popular ketika lebaran sudah semestinya ketupat nasi.

Namun, cara pembuatan dan penyediaannya juga terselit ‘petua’ khas agar ia tahan lama dan lebih sedap.

Mahu tahu tip mengekalkan anyaman ketupat kita agar tidak cepat basi, berikut SinarPlus perincikan:

1. Pemilihan daun kelapa.

Daun kelapa biasanya digunakan sebagai salah satu bahan untuk membungkus ketupat nasi.

Jadi, pastikan anda memilih daun kelapa yang betul agar hasilnya tahan lama ketika disimpan.

Sebagai panduan, pilihlah daun kelapa dengan warna kehijauan-hijauan atau kuning muda.

Daun kelapa dengan ciri seperti itu masih muda dan boleh membuat ketupat tahan lama tau.

Oleh itu, elakkan memilih daun kelapa tua dan kering.

2. Gunakan air kapur.

Selain memilih daun kelapa, anda juga perlu menambahkan sedikit air bersama beras yang telah dicuci sebagai cara membuat ketupat agar tidak cepat rosak.

Sebenarnya, air kapur merupakan elemen tambahan yang membantu memudahkan proses ketika memasak dan teksturnya akan lebih kenyal.

Caranya, tambahkan sedikit air kapur ke dalam beras sebelum dimasukkan ke dalam kelongsong ketupat dan gaul sehingga rata.

3. Masukkan air panas.

Tatkala air rebusan mula berkurang semasa proses merebus ketupat, tambahkan ia dengan air panas, bukan air dari pili.

Curahan air panas akan membuatkan ketupat kelihatan lebih bersih dan terhindar dripada kesan kotoran.

Iklan

4. Siram dengan air sejuk.

Berbeza pula selepas ketupat siap dimasak.

Setelah pastikan ketupat yang direbus betul-betul masak, angkat dan letakkan di dalam sebuah bekas dan toskan sehingga air rebusannya kering.

Seusai itu, siram ketupat tadi dengan menggunakan air sejuk agar warnanya kelihatan lebih cantik dan berkilat selain tidak memudahkan ia menjadi cepat basi.

5. Simpan di dalam peti sejuk.

Jika tidak mahu ketupat cepat rosak, jangan biarkan ia terdedah pada suhu bilik.

Sebaliknya, simpanlah di dalam peti sejuk.

Iklan

Andai kata anda mahu menghidangkan semula ketupat yang telah disimpan di dalam peti sejuk tadi, boleh sahaja.

Kaedahnya adalah hanya perlu keluarkannya dari peti sejuk dan kukus semula kira-kira 30 minit.

Seusai itu, tos lalu angkat ketupat untuk dihidangkan kepada ahli keluarga sebagai hidangan istimewa pada pagi lebaran.

Insya-ALLAH jika petua itu dipraktiskan, ketupat yang kita masak akan lebih tahan lama. Cubalah ya! 😉

Artikel berkaitan: Jom ‘berkampung’ di dapur!. Ini 5 sajian yang mudah dimasak yang boleh kita cuba menjelang Syawal nanti

Selamat mencuba!

Sumber: kompas.com