WABAK berasal daripada bahasa Arab. Ia juga dikenali sebagai epidemik bermaksud penyakit yang tiba-tiba merebak secara mengejut di satu kawasan geografi pada tahap amat membimbangkan.

Pandemik pula merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesebuah komuniti atau daerah semata-mata.

Wabak pandemik akan mengancam kawasan yang lebih luas seperti negeri, negara, benua atau mungkin seluruh dunia jika dibiarkan berlarutan.

Pandemik bermula daripada penularan wabak di peringkat epidemik kemudian merebak pada skala lebih besar sehingga tidak dapat dikawal hingga membunuh sejumlah orang dalam masa singkat.

Seperti negara lain, Malaysia juga tidak terkecuali diserang wabak atau virus bahaya. Bukan Covid-19 sahaja ya korang.

Justeru, SinarPlus kongsikan lima wabak yang pernah berlaku di Malaysia.

1) MERS-Cov

Pada tahun 2018 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu kes jangkitan ‘Middle East Respiratory Syndrom’ atau Sindrom Pernafasan Akut Timur Tengah (MERS-CoV) di negara ini.

Jangkitan tersebut melibatkan seorang lelaki Melayu berusia 55 tahun berasal dari Selangor. Siasatan mendapati beliau baru pulang ke tanah air selepas menunaikan ibadah umrah pada 23 Disember 2017.

Keesokannya, lelaki itu mula mendapat gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), punca jangkitan sebenar dan cara jangkitan bagi penyakit MERS-CoV ini belum dapat dikenalpasti.

Bagaimanapun, aktiviti seperti menyentuh haiwan terutamanya unta, memakan atau meminum sebarang produk mentah atau tidak dimasak dengan sempurna yang melibatkan unta seperti susu, daging, air kencing adalah berisiko mendapat jangkitan MERS-CoV.

2) Selesema burung

Korang masih ingat lagi wabak selesema burung? Virus itu jug dikenali Influenza H5N1 yang menyerang sumber makanan daging utama negara seperti ayam, angsa, itik dan ayam belanda.

Melalui laporan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, selesema burung disebabkan oleh virus Avian Influenza (AI) yang biasanya boleh menjangkiti burung.

Kes pertama selesema burung dikesan di Kelantan pada Ogos 2004. Bagaimanapun, penyakit itu berjaya dikawal dan Malaysia diiktiraf bebas dari penyakit terbabit pada 5 Januari 2005. Namun begitu, setahun kemudian satu kes terpencil dilaporkan Kuala Lumpur.

3) Virus Nipah

Virus Nipah dinamakan sempena lokasinya bermula iaitu di Kampung Sungai Nipah, Negeri Sembilan.

Pada tahun 1999, dilaporkan satu penularan virus ditemui di Bukit Pelandok dan dipercayai menyebabkan 105 kes kematian.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, penyakit Nipah dikaitkan dengan gangguan sistem pernafasan khinzir dan adakalanya melibatkan gangguan sistem saraf dan kematian kepada haiwan tersebut.

Jangkitan virus Nipah turut dilaporkan dalam kambing, biri-biri, anjing, kucing dan kuda.

Virus yang tergolong dalam genus Henipavirus (keluarga paramxyoviridae) disahkan sebagai penyebab kepada wabak itu. Ia juga mempunyai persamaan dengan virus Hendra menjangkiti manusia dan kuda di Australia pada tahun 1994.

Keluang dari genus pteropus pula telah dikenal pasti sebagai perumah semula jadi untuk virus ini.

Di sebalik misteri penyakit itu, seorang rakyat Malaysia dikenali Dr Chua Kaw Bing muncul sebagai orang pertama yang berjaya merungkai dan menamatkan wabak misteri berkenaan.

World Organisation for Animal Health (OIE) mengisytiharkan Malaysia bebas virus Nipah pada awal tahun 2001

4) Denggi, Zika, Chikungunya dan JE

Keempat-empat wabak itu pernah menjangkiti rakyat Malaysia. Walaupun berbeza semuanya berpunca dari serangga bawaan yang sama iaitu nyamuk.

Penyakit demam denggi mula dilaporkan di Malaysia pada tahun 1902. Pada tahun 1962, wabak pertama demam denggi berdarah berlaku di George Town, Pulau Pinang.

Iklan

Denggi adalah penyakit jangkitan daripada virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.

Pesakit denggi akan mengalami simptom hanya selepas lima hingga enam hari gigitan nyamuk tersebut. Antaranya demam panas, sakit kepala, sakit sendi-sendi dan ruam.

Penyakit Zika pula merujuk kepada penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk yang membawa virus Zika. Ia menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti, sama seperti denggi.

Sementara itu, penyakit Chikungunya juga berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus.

Simptom penyakit berkenaan hampir sama dengan demam denggi dan sering disalah anggap. Namun perbezaanya dengan denggi adalah Chikungunya tidak menyebabkan pendarahan serius, renjatan atau kematian. Pesakit hanya perlu sehat secukupnya dan akan pulih selepas tujuh hari.

Japanese Encephalitis atau JE menjangkiti manusia selepas mendapat gigitan nyamuk jenis Culicine iaitu Culex tritaeniorhynchus, Culex vishnui, Culex gelidus dan Culex fuscocephala yang dijangkiti virus JE.

Haiwan seperti khinzir dan pelbagai burung liar terlebih dahulu dijangkiti penyakit JE sebelum virus JE menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk.

Iklan

Di negara ini, kes JE dilaporkan secara sporadik. Selain Malaysia, kebanyakan negara Asia lain seperti India, Thailand, Filipina, Cambodia, Vietnam turut berhadapan risiko penyakit tersebut.

5)Influenza A H1N1

Penyakit itu juga dikenali sebagai selesema babi. Virus selesema babi pertama kali dijumpai pada 2009 di Mexico.

Ia dikenali sebagai selesema H1N1 kerana ia mempamerkan dua antigen permukaan utama, iaitu H1 (jenis hemagglutinin) dan N1 (jenis neuraminidase 1).

Ia adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A (H1N1) dan sebahagian daripada influenza bermusim (seasonal influenza).

Selain lima wabak berkenaan, terdapat juga beberapa penyakit berjangkit yang dikenali di negara kita seperti HIV, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), penyakit meningitis dan jangkitan bakteria Chlamydia.

Seperti di negara-negara lain di dunia, Malaysia kini sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

Virus yang mengakibatkan 3.7 kematian di seluruh dunia mula merebak pada penghujung tahun 2019 bermula di Wuhan, China.