BURUNG Murai Batu merupakan spesis yang dilindungi mengikut Akta Hidupan Liar 1972 dan mereka yang menangkapnya boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Baru-baru ini, laman Twitter dan Facebook Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia berkongsi satu kes cubaan menyeludup yang berjaya ditumpaskan.

Menurut kenyataan jabatan tersebut, satu cubaan untuk menyeludup burung ke luar negara telah digagalkan dengan kerjasama Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pos Tanjung Sepang, Pengerang, Johor.

Sejumlah 49 bakul plastik mengandungi 548 ekor burung Murai Batu telah diserahkan pada 9 Januari lalu ke Pejabat PERHILITAN Daerah Bandar Penawar, Johor.

“Melalui rondaan yang dilakukan oleh ATM di kawasan pesisir Pantai Sungai Rengit, pihak ATM telah menemui bakul-bakul yang mengandungi burung Murai Batu yang diletakkan di kawasan pantai.

“Namun, tiada sebarang tangkapan dibuat dalam kes ini.

”Laporan polis telah dibuat berkenaan penerimaan barang rampasan tersebut,” menurut kenyataan tersebut

Burung Murai Batu merupakan salah satu spesis yang popular sebagai haiwan peliharaan di negara kita, Singapura dan juga di Indonesia.

Ianya boleh ditemui dengan mudah di kedai-kedai yang menjual haiwan peliharaan seluruh negara dan harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.

Untuk memelihara burung spesis ini, kebenaran daripada Jabatan perhilitan adalah diperlukan.

Akibat daripada penangkapan yang berleluasa oleh penggemarnya, kini ia semakin diancam kepupusan dan hampir sukar untuk ditemui terutamanya di habitat asalnya.

Jika diperhati pada sifatnya pula, burung jantan akan berwarna hitam berkilat dengan dada warna berangan (chestnut) dan bulu putih pada ekor dan hujung ekor.

Iklan

548 ekor burung Murai Batu bernilai ratusan ribu ringgit dirampas, cubaan menyeludup gagalSementara burung betina adalah lebih keperangan dan biasanya lebih pendek berbanding burung jantan.

Kedua jantina mempunyai paruh hitam dan kaki merah jambu. Burung jantan muda pula mempunyai warna keperangan atau kelabu, menyerupai burung betina, dengan dada bertompok.

Burung Murai Batu juga bersifat pemalu tetapi kuat mempertahankan kawasannya terutama pada musim mengawan.

Iklan

Bunyi nyanyian spesies itu amat merdu. Ia amat kuat dan jelas, dengan pelbagai frasa dan sering kali mengajuk bunyi burung lain.

Ia juga mampu menghasilkan bunyi klik (‘Tck’) dengan sayapnya apabila resah atau terbang di kawasan terbuka.