PEMAKAIAN pelitup muka mula dikuatkuasakan di tempat-tempat awam mulai 1 Ogos 2020 bertujuan bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 yang sedang mengganas dalam kalangan masyarakat.

Virus Covid-19 merebak melalui droplet atau titisan pernafasan daripada percakapan, batuk ataupun bersin. Berdasarkan kepada hasil dapatan daripada kajian yang telah dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara merumuskan bahawa pemakaian pelitup muka adalah sangat penting.

Kini setelah dua tahun bergelut dengan wabak berkenaan, pemakaian pelitup muka diberikan kelonggaran.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam siaran langsung memaklumkan kelonggaran tersebut diberikan bagi situasi di luar bangunan.

Berikut tujuh fakta mengenai kelonggaran berkenaan:

  1. Mulai 1 Mei 2022, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di dalam bangunan.

2. Pemakaian pelitup muka akan menjadi pilihan apabila di luar bangunan atau kawasan terbuka.

3. Pemakaian pelitup muka masih digalakkan di kawasan luar yang sesak dan untuk individu berisiko tinggi.

topeng muka mask

4. Pelitup muka boleh ditanggalkan di dalam bangunan untuk situasi tertentu seperti ketika makan, ketika bersenam berseorangan, ketika memberi ucapan atau ketika membuat persembahan di atas pentas.

5. Contoh di dalam bangunan pelitup muka di mana diwajibkan adalah seperti berikut:
• Dalam bangunan pejabat
• Pusat membeli-belah
• Di dalam lif
• Di dalam pengangkutan awam seperti bas, kereta api dan kenderaan e-hailing
• Di dalam bilik darjah

Iklan

6. Lokasi di luar rumah atau bangunan di mana pemakaian pelitup muka adalah pilihan adalah seperti berikut;
• Di luar bangunan pejabat
• Perhentian bas
• Taman, padang
• Laluan pejalan kaki yang terbuka dan jambatan

7. Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka di luar bangunan digalakkan bagi situasi berikut:
• Individu yang bergejala
• Berada di tempat yang sesak seperti bazar ramadan, pasar malam atau stadium
• Individu yang berisiko tinggi iaitu yang tidak menerima vaksin, immunocompromised (sistem imun yang tidak berfungsi penuh), warga emas melebihi 60 tahun dan golongan pelbagai komorbid (individu yang menghidap dua atau lebih penyakit yang tidak berkaitan secara serentak).

Iklan

Dalam pada itu, Khairy turut memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal telah disemak semula.

Mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI