TERPAKSA duduk lama di hospital bukanlah satu perkara yang menarik.

Setiap hari pastinya tak sabar menunggu keputusan doktor sama ada dapat pulang ke rumah atau tidak.

Pun demikian, jika pesakit dibenarkan balik sekalipun, rata-ratanya masih belum sihat sepenuhnya.

Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, mereka terpaksa dikeluarkan dari wad biasanya disebabkan oleh kesesakan dalam wad atau memberi peluang kepada pesakit lain untuk diberikan rawatan.

Dr Zubaidi Ahmad.

“Keadaan itu mungkin berlaku pada masa-masa tertentu antaranya ketika musim jangkitan virus,” katanya.

Justeru, ujar Dr Zubaidi, bagi ahli keluarga yang perlu menjaga kesihatan pesakit di rumah, terdapat beberapa tip yang boleh dipraktikkan terutamanya melibatkan pesakit dalam kalangan kanak-kanak, warga tua atau pesakit kronik.

Berikut perinciannya:

1. Perhatikan keadaan demam kerana ia boleh berulang-ulang.

Caranya, dapatkan alat pengukur suhu badan dan periksa tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam.

Ingat, tanda-tanda tidak baik adalah demam tinggi yang berterusan atau demam tinggi yang datang dan pergi.

“Jika keadaan itu berlaku, segera dapatkan pemeriksaan doktor,” pesannya.

2. Pesakit masih lagi dalam keadaan lemah terutama kanak-kanak dan orang tua.

Buat penjaga di rumah, perhatikan keadaan mereka.

Jika masih lagi tidak bermaya dalam tempoh dua hingga tiga hari, ia adalah tanda yang tidak baik.

Maklum beliau, sepatutnya apabila direhatkan di rumah, keadaan mereka akan semakin bertambah baik.

“Tanda keadaan mereka semakin sembuh adalah mereka boleh bangun, pergi ke ruang tamu dan ke dapur dengan sendiri,” beritahunya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

3. Pastikan pesakit boleh makan dan minum.

Galakkan mereka meminum air kosong atau jus buah-buahan (bukan kordial).

Bukan itu sahaja, pastikan juga mereka makan makanan yang lembut tetapi penuh bernutrisi.

“Jangan berikan bubur nasi kosong saja.

“Masukkan sedikit daging dan sayur yang dipotong halus atau berikan sedikit telur. Lebih baik campurkan sedikit minyak zaitun dalam menu tersebut,” pesannya.

4. Masalah yang sering dihadapi oleh pesakit yang sentiasa berbaring di atas katil adalah masalah sembelit.

“Ini menyebabkan perut menjadi kembung dan tidak selesa,” tuturnya.

Iklan

Jadi, pastikan mereka makan yang banyak serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran untuk melegakan masalah sembelit.

5. Pastikan bilik bersih dan ada pengudaraan.

Jangan letakkan pesakit dalam bilik yang berselerak, kotor dan tiada pengudaraan.

6. Jika pesakit semakin pulih, galakkan mereka bergerak di sekitar dalam rumah.

Ini akan membantu mereka mempercepatkan perjalanan darah dalam tubuh.

7. Kerap minum air.

Jika pesakit tiada selera makan, pastikan mereka minum air kosong.

Iklan

“Elakkan minuman yang berkafein, manis dan banyak pewarna atau perasa.

“Lebih penting, pastikan air kencing mereka tidak pekat, berbau dan sedikit. Ini menunjukkan pesakit mengalami dehidrasi yang melambatkan proses penyembuhan,” ungkapnya.

Jadi, buat semua penjaga pesakit, sentiasalah awasi dan perhatikan keadaan mereka.

SinarPlus sentiasa mendoakan agar pesakit yang telah dibenarkan keluar wad segera sembuh dan dapat menjalani rutin harian seperti biasa.

Baca juga: Sakit hati dengan pasangan, pasrah jalan terbaik buat hati tenang

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca.

Jangan lupa follow kami di Instagram!