KATA orang menunggang lebih mudah daripada mencuci. Itu memang lumrah dan tidak dapat dinafikan, namun setelah berminggu-minggu seronok menunggang tidak salah jika kita meluangkan sedikit masa untuk mencuci motosikal sendiri pada hujung minggu.

Banyak kelebihan jika mencuci sendiri dengan cara yang betul tetapi sering terlepas pandang atau ambil mudah oleh pengguna.

Jom SinarPlus kongsikan beberapa panduan dan langkah mudah mencuci motosikal.

1.Persediaan

Sebelum memulakan basuhan, perkara penting ketika bersiap sedia untuk mencuci motosikal adalah menanggalkan aksesori penting yang berisiko terjejas jika terkena air.

Contohnya seperti bag tank, GPS dan juga sebarang peranti digital yang bukan kalis air. Seterusnya sediakan peralatan asas mencuci seperti baldi, sabun pencuci berus dan juga kain.

2.Tempat mencuci

Elakkan menggunakan perkhidmatan mencuci motosikal di kedai. Basuh sendiri jauh lebih baik dan jangan mencuci di tepi jalan raya besar atau di jalan utama yang boleh mendatangkan bahaya.

Anda juga dinasihatkan agar jangan terus mencuci selepas menunggang atau ketika enjin motosikal masih panas. Berikan masa supaya enjin sejuk.

Menyembur air ke enjin yang masih panas berisiko merosakkan permukaan enjin. Elakkan daripada mencuci di bawah terik matahari kerana cuaca yang panas akan menyebabkan sabun kering pada permukaan motosikal sebelum sempat dibilas.

3.Kerap membasuh tetapi jangan terlalu kasar

Kekerapan membasuh dapat memberi kelebihan kepada anda untuk mengetahui sebarang kebocoran atau kerosakan pada motosikal.

Namun, membasuh terlalu kerap pula akan menyebabkan risiko kebocoran dari kabel yang terdedah.

Oleh itu cuba seimbangkan aktiviti membasuh dan pertimbangkan sama ada perlu menggunakan pengilat atau tidak. Jika tidak, bilas motosikal dengan air bersih sudah memadai.

4.Basuh dengan air bersih dan gunakan cecair pencuci yang sesuai

Jangan guna air dengan terlalu banyak. Berjimat cermat adalah amalan yang mulia. Guna bahan pencuci yang sesuai. Terdapat beberapa jenis bahan pencuci yang sesuai dengan keperluan yang tertentu.

Buat kajian bahan manakah yang sesuai dengan cat motosikal anda. Detergen yang digunakan sepatutnya mempunyai bacaan pH di antara 6 dan 8 yang mana ia tidak terlalu berasid atau terlalu alkali sehingga boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan cat motosikal.

Gunakan sarung tangan sekiranya anda menggunakan bahan pencuci yang mengkakis.

5.Hos air bertekanan tinggi

Hos air bertekanan tinggi memang efektif untuk menghilangkan kotoran dan lumpur pada permukaan motosikal, tetapi ianya juga berisiko menyebabkan air meresap masuk ke kawasan yang sempit dan tersembunyi yang mana akan menyebabkan air bertakung dan seterusnya mengakibatkan karat.

Sekiranya menggunakan hos air bertekanan tinggi, elakkan daripada menyembur ke kawasan yang sensitif seperti bahagian elektronik, rantai, brek dan juga tempat duduk.

Bahagian rantai perlu dielakkan kerana walaupun efektif dalam membersihkan kotoran, bahagian tersebut akan terpaksa digris semula kerana hos air bertekanan tinggi secara tindak langsung akan membuang semua gris yang sedia ada.

6.Gunakan span dan peralatan yang sesuai

Gunakan kain atau pengelap berbeza bagi setiap kawasan permukaan motosikal anda. Jangan gunakan kain yang digunakan untuk mengelap bahagian rantai pada bahagian tempat duduk contohnya kerana ianya akan meninggalkan kesan gris pada tempat duduk tersebut.

Iklan

Terdapat pelbagai jenis kain pengelap dan juga span yang diperbuat daripada material berkualiti tinggi seperti mikro fiber yang boleh digunakan secara efektif semasa mencuci.

Sekiranya permukaan yang dicuci sukar dicapai, gunakan berus gigi yang mempunyai pemegang yang panjang untuk mencapai kawasan tersebut. Bagi permukaan kasar seperti ekzos pula, anda boleh gunakan berus dawai untuk menghilangkan sebarang kotoran di bahagian tersebut.

7.Beri perhatian

Apabila anda selesai mencuci motosikal, luangkan masa dengan mengelap sekalai lagi permukan dengan kain mikro fiber.

Perhalusi setiap kali mengelap dan pastikan semua tempat yang sukar seperti bahagian kabel dan bahagian belakang casing motosikal anda tidak terlepas.

Untuk pengetahuan, sekiranya sebuah motosikal menyertai sebaran pertandingan atau pameran, hakim yang mengadili biasanya akan menggunakan jari mereka untuk memeriksa bahagian bawah motosikal untuk mengesan sebarang kotoran atau gris.

Bagi bahagian tayar pula hanya gunakan pengilat tayar sekiranya anda ingin menyertai sebarang pameran, sekiranya tidak elakkan menggunakan pengilat tersebut kerana pengilat tersebut akan menyebabkan cengkaman tayar pada permukaan jalan berkurangan dan boleh mengakibatkan kemalangan.

Iklan

8.Pelincir

WD40 (Water Displacement) adalah bahan terbaik untuk membuang lebihan air dan pada masa yang sama melincirkan permukaan. Oleh sebab itu, anda perlu mengelak menggunakan bahan ini pada tempat yang tidak sepatutnya kerana ianya akan menyebabkan hakisan pada kawasan yang telah digris.

9.Keringkan

Gunakan kain pengelap yang telah diperah atau span yang telah dikeringkan pada permukaan motosikal. Jangan sesekali mengunakan kain yang telah terjatuh pada permukaan tanah untuk dilap semula kerana kain tersebut berkemungkinan mengandungi kotoran atau partikel kecil yang boleh menyebabkan kekotoran semula pada motosikal anda.

Selepas selesai mengeringkan motosikal, tunggang dengan perlahan sekitar kawasan berdekatan dan tekan brek dengan kerap untuk mengeluarkan lebihan air dari tangki pam brek.

Dan bawa motosikal anda dengan sedikit laju untuk mengeringkan bahagian-bahagian tersembunyi. Ini adalah penting untuk membuang air yang bertakung yang boleh menyebabkan bahagian berkarat.

Ataupun jika anda mempunyai blower, lebih senang menggunakan angin yang kuat untuk membuang lebih-lebihan air pada motosikal.

Selamat mencuci!