Abah KJ lancar program Digital Rembau, laptop percuma diberi untuk pelajar yang memerlukan  

A
A
A

IMPAK akibat penularan pandemik Covid-19 pastinya mampu memberi kesan mendalam kepada gaya hidup masyarakat secara menyeluruh.

Prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh orang ramai, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini melancarkan program yang dikenali sebagai Digital Rembau.

Menurut Khairy atau juga digelar sebagai Abah KJ dalam kalangan masyarakat berkata, di sebalik pelbagai cabaran yang timbul, kehidupan dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) ini sebenarnya mencipta beberapa peluang yang sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita semua.

“Menerusi program Digital Rembau ini, tiga inisiatif utama yang diperkenalkan bertujuan melahirkan beberapa peluang baharu dalam mengharungi kehidupan dan menerima perubahan serta cabaran baharu menerusi transformasi digital.

“Sebagai permulaan, Digital Rembau mensasar dan memberi penekanan kepada ekonomi digital bagi memberi pengalaman kepada para pengguna serta peniaga setempat,” katanya.

Antara inisiatif dijalankan termasuk kempen mengaktifkan transaksi digital dalam kalangan para peniaga dan pelanggan di Rembau melalui pembayaran tanpa tunai atau cashless payment seperti kad debit, Touch N Go dan QR Pay.

Selain itu, pengaktifan infak tanpa tunai di masjid-masjid dan sumbangan kepada rumah ibadat sekitar Rembau turut dijalankan.

Para pengunjung masjid dan rumah ibadat digalakkan untuk menyampaikan sumbangan mereka dengan hanya mengimbas kod QR yang disediakan di lokasi-lokasi terbabit.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pandemik Covid-19 bermula, sesi pembelajaran dalam talian menjadi norma baharu kepada semua pelajar.

Namun, tidak semua pelajar berkemampuan untuk memiliki komputer riba kerana kos yang agak tinggi dan ada di antara mereka berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.

Oleh demikian, pemberian komputer riba dan tablet kepada para mahasiswa serta pelajar Rembau kepada golongan yang memerlukan juga merupakan satu lagi inisiatif di bawah program Digital Rembau.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi membantu para pelajar IPT yang layak agar mereka tidak ketinggalan dalam mengikuti sesi pengajian di universiti.

Disasarkan, sebanyak 1,000 orang penerima komputer riba di kalangan mahasiswa akan dibantu, manakala 1,000 tablet pula akan disampaikan kepada para pelajar sekolah dari keluarga berpendapatan rendah.

Ini diharap dapat membantu mereka menjalani norma baharu pembelajaran dalam talian dengan lebih selesa.

Digital Rembau ini bukan hanya slogan atau kempen semata-mata, tetapi permulaan kepada gaya hidup yang lebih segar kepada pengguna, peniaga dan rakyat secara keseluruhan.

Untuk maklumat lanjut layari www.digitalrembau.com

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca