SUSULAN pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad lalu, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan sepanjang lanjutan PKPB selama empat minggu iaitu sehingga 9 Jun depan.

Seperti yang dijangka, pengumuman “tidak boleh balik kampung” ini mendapat pelbagai reaksi warganet yang tentunya mencurahkan perasaan mereka menerusi paparan media sosial.

Namun yang menariknya, menerusi akaun Facebook, seorang jurutera profesional, Ir Abdul Rahman, beliau berpandangan keputusan kerajaan tidak membenarkan orang ramai pulang beraya itu wajar diambil dari sudut positif.

Hal demikian menurutnya adalah disebabkan emak dan bapa dalam kalangan warga emas diketahui memiliki sistem imunisasi yang lemah dan sangat terdedah kepada serangan wabak itu, sekali gus menambahkan rantaian Covid-19.

“Jangan dek kerana ghairahnya kita nak balik kampung dan ziarah sana sini, akhirnya kita akan menyesal diri sebab orang tua kita dah dijangkiti.

“Kalau boleh sembuh tak mengapalah juga tapi kalau tak boleh sembuh sampai membawa maut? Akhirnya, nak iring ke kubur pun tak dibenarkan. Tak ke sedih kalau jadi macam tu.

“Kita kena sedar. Warga tua adalah golongan yang paling berisiko semasa wabak Covid-19 ni. Kena pulak ada yangg menghidap penyakit kritikal macam kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan sebagainya.

“Sekali warga tua dijangkiti dan keadaan semakin buruk. Peratusan nak sembuh tu amat-amatlah tipis,” tulisnya

Tambah Abdul Rahman lagi, peperangan ke atas Covid-19 masih belum berakhir dan memohon semua pihak agar menjadikan dua kes baharu di Sitiawan, Perak sebagai rujukan dan peringatan ketika berada di luar rumah kerana kita tidak akan mengetahui menjadi pembawa virus itu.

Iklan

Sebelum ini, beliau yang terkenal dengan kata-kata pandangan dan nasihat di Facebook ada mengingatkan rakyat Malaysia tentang kebarangkalian risiko penularan wabak itu pada musim perayaan, ditambah pula dengan kelonggaran syarat bagi aktiviti ziarah sehingga 20 orang pada satu-satu masa, sudah pastinya setiap daripada kita akan leka keluar berhari raya.

Perkongsian yang dikatakan membuka mata orang ramai kini semakin tular di laman sosial dengan menerima ribuan perkongsian dan komen orang ramai.

Iklan

Oleh itu, di sebalik keghairahan orang ramai menanti sambutan hari raya, adalah lebih wajar kita memilih sikap prihatin terhadap para petugas barisan hadapan yang sehingga kini masih bertungkus lumus ‘berperang’ bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini dengan hanya duduk di rumah.

Setiap tahun pun ada raya! Sabar keadaan belum cukup mengizinkan.

Sama-sama kita mengambil tanggungjawab ini supaya tidak menyesal di kemudian hari. #PastiAdaSinar