GOOGLE Classroom, Zoom mahupun Google Meet, merupakan antara wahana alternatif Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian yang semakin popular dalam dunia pendidikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

Kaedah yang bergantung sepenuhnya kepada capaian internet ini menjadi pilihan tenaga pengajar termasuk guru dan pensyarah bagi memastikan golongan pelajar mampu meneruskan pelajaran dari kediaman masing-masing.

Ianya bertepatan dengan arahan kerajaan untuk semua duduk di rumah sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan ibu bapa serta pelajar yang mengeluh berikutan kekangan serta keterbatasan untuk menjayakannya PdP kerana capaian internet yang lemah serta tiada peranti elektronik khusus bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Namun begitu, bagi kebanyakan pelajar yang tinggal di bandar mahupun luar bandar, yang tidak begitu jauh dari kawasan pedalaman, guru masih boleh menghubungi mereka dengan telefon bimbit untuk diberi tugasan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Tidak kisahlah, sekiranya telefon itu hanya mempunyai fungsi asas sahaja, sekadar terima dan jawab panggilan, sekurang-kurangnya masih ada jaringan perhubungan.

Bagaimana pula halnya dengan pelajar yang tinggal jauh di pedalaman, apatah lagi dikelilingi hutan belantara tebal. Bukan sahaja mereka tidak mempunyai capaian internet, malah tidak juga mempunyai sebarang rangkaian talian komunikasi!

Berkemungkinan pelajar di kawasan berkenaan tidak dapat mengikuit sebarang program PdP berbanding rakan-rakan mereka yang tinggal di bandar atau luar bandar, yang masih mampu mendapat capaian internet.

Sementara itu, terdapat sebuah rumah panjang, Anthony Bau, di kawasan pedalaman yang didiami masyarakat suku kaum Iban. Ia terletak di daerah Julau, bahagian Sarikei.

Selain langsung tidak ada talian komunikasi, bukan mudah untuk sampai ke penempatan masyarakat Iban itu.

Rumah Panjang Anthony Bau itu sememangnya sangat ‘terpisah’ dengan dunia luar kerana hutan belantara yang tebal.

Bagi membolehkan penduduk rumah panjang mendapatkan rangkaian komunikasi, mereka perlu ke pekan Julau yang memakan masa berjam-jam lamanya. Itu pun bergantung kepada pengangkutan, sama ada melalui sungai, jalan balak atau udara sahaja.

Sekiranya ke pekan Julau menerusi sungai dengan perahu panjang enjin sangkut , perjalanan mengambil masa kira-kira lima hingga enam jam, dan mungkin lebih, bergantung kepada keadaan sungai untuk sampai ke Jeti Nanga Entabai yang terletak di Julau.

Dari jeti, untuk sampai ke Pekan Julau, perlu mengambil pengangkutan van dan jarak perjalanan kira-kira 45 minit.

Jika menggunakan jalan balak, perjalanan agak singkat iaitu kira-kira empat jam. Bolehlah menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal lasak namun berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman binatang buas, jalan licin disebabkan hujan serta berisiko kenderaan rosak.

Iklan

Dengan segala kesukaran untuk mendapatkan ‘talian komunikasi’ ini serta terdedah kepada tragedi perahu karam mahupun terkandas di hutan belantara tebal serta kos perjalanan melebihi RM500 ke atas, apakah semuanya ini boleh mematahkan semangat anak pedalaman ini untuk belajar semasa PKP?

Guru Penolong Kanan, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Julaihi Mahdi berkata, meskipun belajar jauh di pedalaman dikelilingi hutan belantara tebal, murid-murid sekolah di kawasan berkenaan maklum tentang Google Classroom serta Google Meet .

“Pada awal tahun, guru sudah memberi penerangan serta penjelasan kepada mereka. Namun, praktikalnya tidak dapat dilakukan pada masa itu termasuklah ketika ini disebabkan masalah talian komunikasi dan capaian internet. Jadi, apabila adanya PKP yang menuntut semua sekolah ditutup, keadaan ini memberi cabaran besar buat para guru.

“Bagaimana kami hendak memastikan murid tidak ketinggalan dalam pembelajaran tambahan ketika ini semua guru berada di kediaman masing-masing dan tidak ada seorang pun di asrama sekolah,” kata Julaihi.

Dari jeti Nanga Entabai, terdapat tiga buah lagi sekolah sebelum sampai ke SK Nanga Ju iaitu SK Nanga Entabai, SK Lubok Asam dan SK Nanga Maong. SK Nanga Ju adalah sekolah paling jauh di laluan ini. Difahamkan kira-kira sejam perjalanan dari rumah panjang Anthony Bau.

Iklan

Sekolah pedalaman ini ada dibekalkan dengan alat komunikasi iaitu internet yang menggunakan parabola bagi membolehkan perhubungan secara terus kepada satelit.

Namun begitu, Julaihi yang hampir tujuh tahun mengajar di sekolah tersebut berkata, kemudahan yang diberikan itu mengalami kerosakan pada awal tahun ini dan menyukarkan lagi melaksanakan PdP dalam talian.

“Pelaksanaan PKP menjejaskan perancangan para guru khususnya untuk pelajar yang menghadapi UPSR. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan membatalkan peperiksaan tersebut.

“Namun, itu bukanlah bermakna kami para guru seramai 10 orang dan 6 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) menjadikan kesukaran komunikasi sebagai alasan membiarkan sahaja murid begitu sahaja.

”Kami ada cara tersendiri untuk memastikan mereka tidak tercicir,” jelasnya yang kini berada di rumah keluarganya di Bintangor, Sarawak.