Awas! Ada buaya di Sungai Kesang, airnya cantik tapi bahaya

Awas! Air yang tenang jangan sangka tiada buaya di Sungai Kesang
Awas! Air yang tenang jangan sangka tiada buaya di Sungai Kesang
A
A
A

Di Sungai Kesang, Melaka, peribahasa “air yang tenang jangan sangka tiada buaya” itu benar-benar berlaku dalam kehidupan sebenar.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan Sungai Kesang, yang tular dengan persekitaran tenang dan jernih, sebagai lokasi ‘pesta’ mandi-manda kerana dikhuatiri boleh mengancam nyawa mereka.

Pengarah Perhilitan Melaka Mohd Hasdi Husin berkata ini kerana Sungai Kesang telah diisytiharkan sebagai habitat buaya sejak 2018.

Memetik laporan yang diterbitkan oleh portal akhbar tempatan, Mohd Hasdi berkata, untuk makluman orang ramai dan berdasarkan pemerhatian Perhilitan, dua hingga tiga ekor buaya tembaga dewasa atau nama saintifiknya Crocodylus Porosus, dipercayai ada di sepanjang Sungai Kesang itu.

“Jangan mandi-manda, kerana dibimbangi akan berlaku kejadian yang tidak diingini akibat menganggu habitat reptilia pemangsa itu. Papan tanda amaran ada buaya juga telah dipasang di lokasi sungai berkenaan,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka telah memaklumkan kepada Perhilitan bahawa Sungai Kesang menjadi jernih kebiruan ketika laut pasang dipercayai disebabkan tiada aktiviti pembukaan tanah dan pertanian di hulu sungai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

“Perhilitan tidak akan mengganggu habitat reptilia pemangsa itu kecuali jika ada aduan atau berlaku serangan terhadap orang awam,” katanya.

Sungai Kesang, yang menjadi ‘garis sempadan’ antara Jasin, Melaka dan Tangkak, Johor, tular di media sosial baru-baru ini berikutan warnanya menjadi jernih kebiruan sehingga menarik pengunjung dari dalam dan luar negeri ini untuk datang ke sungai itu mengambil gambar kenang-kenangan sambil bermanda-manda.

Orang ramai juga dilihat teruja dapat melihat sendiri air sungai itu yang tidak pernah dijangka boleh menjadi begitu jernih.

Apa-apa pun korang berhati-hati lah yer! Buaya tu bukan biawak!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca