SEPANJANG bekerja dari rumah berikutan pandemik wabak Covid-19, bukan sahaja golongan wanita malah lelaki juga berkeluh-kesah di media sosial tentang berat badan yang semakin bertambah.

Bukan setakat sekilogram, malah berkilo-kilogram!

Masakan tidak! Pergerakan di rumah yang terhad, mudah mendapat makanan kerana dapur hanya beberapa langkah sahaja dari tempat korang bekerja, kurang aktiviti fizikal selain terikut-ikut dengan selera anak yang sentiasa hendak makan, dijadikan antara alasan kenaikan saiz badan.

Tambahan lupa sepanjang PKP yang lalu warganet dilihat semakin rajin dan gemar memasak di dapur. Dalam aplikasi media sosial pula dapat dilihat ramai kalangan rakan-rakan yang berkongsikan kemahiran memasak pelbagai menu.

Jika sebelum ini, amat jarang sekali makanan tersebut kita sediakan sendiri, tetapi kerana PKP, ramai yang mempunyai masa untuk mencuba pelbagai resipi.

Ini juga salah satu punca berat badan naik dengan mendadak. Masalah itu jika tidak dikawal juga mampu menyebabkan seseorang itu mengalami masalah obesiti.

Masalah dunia

Hakikatnya, masalah obesiti iaitu satu keadaan kompleks yang mana seseorang individu itu mempunyai lemak berlebihan pada badan menjadi isu kesihatan utama seantero dunia.

Menyusuri data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), permasalahan obesiti yang mengubah struktur bentuk badan seseorang itu didapati menjadi kebimbangan global sejak tahun 1975 lagi dan sehingga kini ia masih menjadi isu besar.

Kerungsingan ini berasas kerana obes merupakan gerbang kepada peningkatan risiko pelbagai penyakit kronik yang bukan sahaja memberi masalah besar kepada golongan tersebut bahkan sesebuah negara berikutan menampung kewangan sangat besar bagi penyediaan rawatan buat rakyatnya.

Jika dirujuk laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Feb 2020 jelas memperlihatkan betapa kritikalnya permasalahan ini berikutan obesiti telah mencapai peringkat epidemik secara global, dengan sekurang-kurangnya 2.8 juta orang meninggal dunia setiap tahun kerana lebihan berat badan atau obes.

Di Malaysia, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 50.1 peratus daripada orang dewasa mempunyai, sama ada berlebihan berat badan atau obes di mana 30.4 peratus merupakan berlebihan berat badan manakala 19.7 peratus adalah obes.

Harus difahami bahawa terminologi berlebihan berat badan dan obes adalah dua kategori berbeza. Bagi berlebihan berat badan, NHMS 2019 mendefinisikan ia berdasarkan Indeks Jisim Tubuh (IJT) adalah melebihi 25kg/m2 manakala untuk obes kadar IJT melebihi 30kg/m2.

Iklan

Penemuan data ini nyata tidak begitu menggembirakan kerana ia menunjukkan berlakunya trend peningkatan kategori berkenaan berbanding kajian sama pada tahun sebelumnya. Misalnya, untuk kategori berlebihan berat badan hanyalah sekitar 29.4 peratus manakala obes (15.1 peratus) untuk tahun 2011.

Data NHMS 2019 juga turut memperincikan tiga golongan tertinggi yang berhadapan permasalahan tersebut iaitu perempuan (54.7 peratus), etnik India (63.9 peratus) manakala lingkungan umur paling tinggi adalah golongan berumur 55-59 tahun (60.9 peratus).

Kesimpulannya, janganlah kerana berkurung dalam rumah untuk mengelak Covid-19, korang mengundang penyakit lain seperti kencing manis dan obesiti.

Iklan

Seimbangkan pemakanan dan senaman. Banyak kaedah senaman yang boleh dilakukan walaupun dalam keadaan ruang yang terhad di dalam rumah.

Sebagai contoh, boleh lakukan lompat bintang, pumping, berlari setempat, senam robik dan macam-macam lagi senaman untuk mengekalkan kecergasan.

Pendek kata, tiada alasan untuk tidak bersenam walaupun tidak keluar rumah dan terpaksa bekerja di rumah.

Jika tidak mahu bersenam, maka boleh pilih kerja-kerja lain yang dapat mengeluarkan peluh yang banyak seperti mencuci dan mengemas satu rumah, mengelap semua kelengkapan dalam rumah dan macam-macam lagi.