Awas! Serangan jantung ketika bersenam, ketahui tanda-tanda awal
AKTIF bersukan dan gemar melakukan olahraga tidak semestinya membuatkan seseorang itu terhindar daripada mengalami serangan jantung.
Tidak kurang juga ada yang beranggapan penyakit tersebut hanya berlaku kepada individu berat badan berlebihan, berusia, perokok selain tidak mengamalkan gaya hidup serta pemakanan yang sihat.
Walhal perkara tersebut juga boleh berlaku kepada individu muda atau mereka yang bergiat aktif dalam sukan turut terdedah kepada serangan jantung.
Kesedaran awal penting agar dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak dingini terutama sewaktu berada di tempat awam.
Menurut pakar perubatan Dr Paul Chiam, Pakar Kardiologi Hospital Mount Elizabeth Singapura, serangan jantung ketika bersenam disebabkan berlakunya degupan jantung yang tidak normal."Hal ini boleh berlaku kerana otot jantung menebal (kardiomiopati hipertrofik) sehingga mengganggu kadar degupan. Situasi begini juga kerap diamali oleh lelaki berbanding wanita," terangnya.
Oleh itu, SinarPlus kongsikan tanda-tanda awal serangan jantung boleh berlaku ketika bersukan yang diambil daripada sumber laman web Kompas.com:
1. Rasa tidak selesa
Ketika sedang melakukan aktiviti sukan, rasa tidak selesa pada bahagian dada berlaku secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Anda disarankan untuk berhenti daripada melakukan sebarang aktiviti. Jika perkara tersebut berlanjutan, cuba minta pertolongan dengan segera.
2. Pening
Melakukan aktiviti fizikal kadangkala boleh mengundang rasa tidak selesa seperti pening kepala terutama bagi mereka yang sebelum ini kurang bersenam. Oleh itu, jika badan mula berasa tidak selesa dan pening, ambil masa untuk berehat, duduk dan bertenang seketika.
3. Sesak nafas
Pernafasan berubah menjadi naik turun dan sakit pada bahagian dada dipercayai tanda awal serangan jantung. Sebaiknya ambil masa untuk berehat dan jangan terlalu memaksa diri untuk terus melakukan aktiviti sukan.
4. Degupan jantung tidak sekata
Kadar degupan jantung berbeza jika dibandingkan ketika bersukan dengan berehat. Hal ini disebabkan jantung perlu mengepam darah untuk membawa oksigen dengan lebih lagu ketika sedang melakukan aktiviti sukan.
Kadar degupan jantung juga cepat beberaap saat berbanding biasa. Bagaimanapun, jika kadar degupan jantung mula menunjukkan tanda-tanda tidak stabil, berhenti daripada melakukan sebarang aktiviti dan cuba mendapatkan pertolongan.
Bagi mengelakkan perkara merbahaya berlaku ketika bersenam atau bersukan, sebaiknya lakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui tahap stamina terlebih dahulu.
Dapatkan nasihat doktor dan pakar bagi mengetahui jenis dan tahap kemampuan sukan atau senaman yang boleh dilakukan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang