KINI orang ramai diperintahkan untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan agar jumlah individu yang dijangkiti wabak Covid-19 mampu dikurangkan.

Perintah yang dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu telah berkuat kuasa 18 Mac lalu dan akan berterusan sehingga hujung bulan ini.

Kalau dah seharian duduk dirumah, almaklum sahaja lah, kejap-kejap mesti nak makan. Mulut pula asyik sentiasa nak mengunyah je terutama ketika menonton televisyen. Tambahan pula, stok makanan yang dibeli ketika tengah panik sebelum ini masih banyak.

Tapi anda harus ingat. Gunung pun kalau hari-hari ditarah boleh jadi rata tau!

Bayangkan baru seminggu PKP dilaksanakan berat badan masing-masing dah menunjukkan kesan. Kalau dua minggu takut membesar dengan sihat bagai johan je! Haha!

Ingat, kita duduk di rumah mahu mengelak daripada jangkitan wabak, jangan sampai penyakit lain pula yang timbul pada kemudian hari.

Apapun, jangan biarkan ia berlarutan jika tidak mahu menyesal akan kesannya nanti dan anda harus kawal serta jaga pemakanan dengan betul.

Untuk itu, Sinar Plus kongsikan panduan yang dikongsi menerusi Facebook Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan (KKM). Antara langkah-langkah yang harus anda ikut adalah seperti berikut:

1. Awasi waktu makan

Saranan waktu makan yang betul adalah dari 7.00 pagi hingga 8.30 pagi untuk sarapan, 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang untuk makan tengah hari dan 6.30 petang hingga 8.30 malam untuk makan malam.

Disiplin dan tetapkan waktu makan untuk ahli keluarga dan pastikan juga mereka tidak melangkau waktu makan yang sepatutnya.

2. Jangan ikutkan selera dan nafsu

Jika rasa lapar tidak dikawal, anda berpotensi untuk makan makanan yang tidak sepatutnya secara berlebihan. Ini mungkin akan menyumbang pada pengambilan nilai kalori yang jauh lebih tinggi.

Perlu diingat, bagi yang suka makan malam, pastikan ambil hidangan yang berkhasiat dan tinggi serat untuk memberi rasa kenyang yang mencukupi.

Iklan

3. Amalkan pemakanan sihat

Jika terasa lapar, minum air kosong dan ambil snek ringan seperti segelas susu, buah-buahan, kekacang, roti, biskut bijirin penuh atau dadih.

4. Kawal kuantiti makanan diambil

Bijaklah dalam merancang pengambilan makanan. Pastikan anda kawal kuantiti setiap makanan yang diambil. Makan dengan kerap dalam kuantiti yang sedikit.

Iklan

5. Sibukkan diri

Anda boleh mengawal rasa lapar dengan menyibukkan diri melakukan pelbagai aktiviti di rumah. Cipta dan rancang aktiviti menarik serta berfaedah bersama-sama ahli keluarga ketika tempoh kawalan pergerakan ini.

Selain itu, anda juga boleh berpuasa sunat dan elak tidur lewat kerana berjaga lewat malam membuatkan anda mudah lapar.

Semoga bermanfaat dan diharap anda masih #stayathome!