Ayam Pansuh juadah istimewa berbuka puasa masyarakat Asli Lubuk Legong

Ayam Pansuh juadah istimewa berbuka puasa masyarakat Asli Lubuk Legong
Ayam Pansuh juadah istimewa berbuka puasa masyarakat Asli Lubuk Legong
A
A
A

SUDAH menjadi kelaziman bagi masyarakat Islam di negara ini menjadikan pelbagai jenis makanan seperti buah kurma, ayam percik, sup daging dan manisan sebagai hidangan ketika berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Namun, bagi masyarakat Orang Asli Kensiu di Lubuk Legong, Kedah, yang sudah memeluk agama Islam sejak sekian lama, ayam pansuh menjadi hidangan istimewa yang perlu ada ketika berbuka puasa.

Tok Batin masyarakat Orang Asli Lubuk Legong, Razali Kulim berkata, walaupun ayam pansuh lebih dikaitkan dengan masyarakat Asli di Borneo terutama di Sarawak, hidangan itu turut dianggap sebagai makanan tradisional bagi masyarakat Orang Asli Kensiu.

"Sama seperti di Sarawak, ayam pansuh di sini dimasak menggunakan buluh, masa zaman nenek moyang dahulu, mana ada periuk seperti zaman sekarang, jadi kalau hendak masak mereka akan menggunakan buluh.

"Meskipun hidangan ayam pansuh ini agak ringkas, namun aroma yang keluar daripada corong buluh ketika dimasak boleh buat orang tidak sabar untuk berbuka puasa,” katanya.

Menurut Razali, selain bahan utama iaitu ayam, ramuan lain yang diperlukan untuk memasak hidangan itu diperoleh dari hutan berdekatan antaranya bunga kantan, daun kesum, daun ubi kayu, halia, kunyit dan serai.

“Yang menariknya masak ayam dalam buluh ini, hanya ada ayam, air dan bahan-bahan dari hutan sahaja, tidak perlu menambah garam dan gula kerana apabila dibakar buluh itu sendiri akan mengeluarkan cecair mineral berasa masin dan manis," ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang masyarakat Orang Asli Kensiu, Sudirman Biat berkata, penyediaan makanan itu yang mengambil masa tiga hingga empat jam kebiasaannya akan dilakukan secara bergotong-royong sama ada dalam sesebuah keluarga atau bersama jiran.

Katanya, golongan dewasa akan ke hutan mencari buluh sementara anak-anak masyarakat Orang Asli ditugaskan ke pinggir hutan mencari bahan-bahan lain yang diperlukan.

"Dengan cara ini, kami dapat mendidik anak-anak kami mengenai makanan tradisional ini dan tidak lupa akan peninggalan nenek moyang mereka," katanya.

BERNAMA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca