ANAK-ANAK kecil memang suka main air. Kadang-kadang kita ibu, ayah atau penjaga walau terleka sekejap pun macam-macam boleh terjadi.

Seperti yang terjadi di Georgetown semalam apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan lemas dalam besen di rumah pengasuhnya di Batu Maung, Pulau Pinang.

Laporan akhbar tempatan mengatakan kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Sophia Fatehah Wan Farhan Danial.

Nenek mangsa yang mahu dikenali sebagai Wan berkata, dia bergegas dari Taiping ke Pulau Pinang selepas menerima panggilan daripada anak lelakinya berhubung kejadian.

Katanya, cucunya memang sudah lama dijaga pengasuh berkenaan dan sudah tentu mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi dibedah siasat.

Difahamkan, Sophia Fatehah adalah anak bongsu daripada dua beradik dan ibu bapanya bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Menurut bapanya, Farhan Danial Wan Azmi, 26, ketika kejadian, dia berada di hospital bagi mendapatkan laporan perubatannya sebelum dihubungi pengasuh terbabit pada jam 1 tengah hari bagi memaklumkan kejadian.

Katanya, dirinya amat sedih dengan kehilangan yang mengejutkan ini namun reda.

Menurutnya, pengasuh mendakwa, selesai memandikan Sophia Fatehah, dia meninggalkan seketika kanak-kanak itu di bilik air bagi mengambil tuala.

Namun, sebaik kembali ke bilik air, pengasuh mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan tersungkur dalam besen dan sudah tidak sedarkan diri.

Pengasuh terbabit turut memberitahu sudah memberi rawatan awal kepada Sophia Fatehah dan menghubungi ambulans.

Menurut Farhan Danial, anak bongsunya itu baru saja pulang ke rumah selepas seminggu berada di hospital bagi mendapatkan rawatan penyakit yang dihidapi.

Katanya, mereka tidak menyalahkan pengasuh kerana sudah kenal lama dengannya dan dia menjaga Sophia Fatehah dengan baik sejak berusia dua bulan malah anak sulung mereka yang berusia enam tahun juga turut dijaga pengasuh berkenaan sejak berusia enam bulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan mengesahkan kejadian berkenaan.

Iklan

Bahaya di bilik air, ini langkah keselamatan yang perlu ambil tahu

Kita semua juga patut mengambil iktibar daripada kejadian tersebut. Mesti ramai yang tadah air dalam besen, baldi, ataupun kolah di bilik air kan?

Walaupun baldi kecil, ia tetap bahaya dan berisiko jika ada anak kecil di rumah.

Menurut Persatuan Paediatrik Malaysia, kanak-kanak boleh lemas di dalam air berukuran kurang daripada 2.5 cm!

Iklan

Berikut adalah beberapa lagi langkah keselamatan yang perlu dititikberatkan dan dipraktikkan oleh ibu, ayah atau penjaga jika ada anak kecil di rumah;

1. Pastikan pintu ke bilik dan tandas sentiasa tertutup.

2. Jangan benarkan anak pergi ke bilik air atau tandas bersendirian. Sentiasa pastikan anak ditemani orang dewasa. Jika boleh pasang kunci di mangkuk tandas supaya anak tidak boleh terjatuh dan lemas.

3. Jangan sekali-kali tinggalkan anak bersendirian di dalam besen mandi atau sebarang bekas berisi air seperti baldi, kolam atau tandas atas apa sebab dan walau sekejap mana sekalipun.

4. Apabila menyediakan mandian bayi, masukkan air sejuk dahulu diikuti air panas. Jangan tambah air semasa bayi berada di dalam besen mandi. Jika anda perlu menambah air, keluarkan bayi terlebih dahulu. Uji suhu air sebelum anda memasukkan bayi kembali ke dalam besen mandi.

5. Uji suhu mandian dengan siku. Suhu patut berasa suam dan selesa. Korang juga boleh menggunakan termometer tab mandi yang ada dijual di pasaran.

6. Apabila memandikan bayi, pegang bayi dengan sebelah tangan dan gunakan tangan yang lagi sebelah untuk memandikannya.

Baca juga Pendaftaran murid Tahun 1 bagi tahun 2022 dan 2023 kini dibuka

7. Gunakan alas getah atau tuala sebagai alas di dalam beseb mandi supaya bayi tidak tergelincir.

8. Jangan letakkan peralatan elektrik berdekatan sinki, besen mandi atau tandas.

9. Tuang dan kosongkan bekas berisi air dengan serta-merta selepas menggunakannya bagi mengelakkan kanak-kanak lemas.

10. Letakkan besen dan baldi di tempat yang tidak boleh dicapai supaya anak tidak mengisikannya dengan air.

11. Bekas yang berisi air seharusnya ditutup setiap waktu.

Takziah buat keluarga mangsa. Semoga ahli keluarga mangsa diberi kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi dugaan ini.