MINGGU pertama Ramadan hampir berlalu. Mungkin kebanyakan daripada kita sedang sibuk menyediakan pelbagai kelengkapan Aidilfitri termasuk baju raya.

Tidak seperti wanita, kaum Adam, persediaan mereka cukup ringkas. Cukup sekadar sepasang baju Melayu dan kain samping untuk dipakai pada pagi Lebaran.

Korang tahu tak yang baju Melayu ada ceritanya yang tersendiri? Baju Melayu yang sinonim dengan masyarakat Melayu ini mempunyai maksud dan falsafah tertentu pada setiap perincian. Walaupun rekaan baju Melayu berubah seiring peredaran zaman, masih ramai yang memilih untuk menggayakannya.

Adakah kita generasi yang hanya tahu memakai dan menggayakan tradisi dahulu warisan berharga ini tanpa cuba menyingkap cerita di sebaliknya? Ini antara fakta yang perlu diketahui.

 

Baju Melayu pakaian tradisi pelengkap Aidilfitri. Ini cerita di sebaliknya
Foto: Google

 

Daripada zaman Kesultanan Melayu
Baju Melayu pada asalnya diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Shah pada zaman kesultanan Melayu Melaka kira-kira 700 tahun yang lalu. Baginda kaya dengan falsafah dalam berbusana dan amat menitikberatkan setiap perkara termasuk aturan berpakaian.

Ini kerana Sultan Muhammad Shah mahu orang Melayu mempunyai identiti yang tersendiri. Dengan pemakaian baju Melayu, jati diri anak Melayu akan terserlah.

Falsafah baju Melayu
Korang perasan atau tidak perbezaan utama pada baju Melayu adalah pada jumlah butangnya? Rupanya jumlah butang ini ada falsafahnya yang tersendiri. Menarik bukan?

 

Baju Melayu pakaian tradisi pelengkap Aidilfitri. Ini cerita di sebaliknya
Foto: Instagram

 

Baju Melayu berbutang lima
Baju Melayu lima butang dinamakan baju Melayu cekak musang. Lima butang tersebut merujuk kepada rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan haji bagi yang mampu.

Malah, terdapat puisi yang menceritakan kepentingan memakai lima butang baju Melayu yang berbunyi;

Cekak musang berbutang lima,
Lima rukun di dalamnya,
Lima petua dibawanya,
Lima tiang ditegakkan.

Baju Melayu berbutang satu
Baju Melayu berbutang satu ialah baju Melayu teluk belanga. Satu butang ini melambangkan tauhid yang membawa makna Tuhan Yang Maha Esa dan disemadikan dalam puisi yang berbunyi,

Teluk belanga berbutang tunggal,
Tunggal satu Tuhan yang disembah,
Tunggal tidak dapat dianjak alih,
Tunggal tidak dapat dibelah.

 

Iklan
Baju Melayu pakaian tradisi pelengkap Aidilfitri. Ini cerita di sebaliknya
Foto: Google

 

Tiga poket baju
Baju Melayu tradisional kebanyakannya mempunyai tiga poket iaitu satu poket pada bahagian kiri dada dan dua poket pada bahagian bawah. Ketiga-tiga ini melambangkan Islam, iman dan ihsan yang membawa maksud kesempurnaan.

Samping gambarkan status
Baju Melayu kelihatan lengkap sempurna jika dipakai bersama samping yang diikat pada bahagian pinggang. Namun, pemakaian samping juga ada aturannya. Samping yang dipakai di bawah lutut bermaksud sudah berkahwin manakala bagi orang samping dipakai di atas lutut.

Samping jika dipakai bersama baju Melayu teluk belanga, ia biasanya dipakai pada sebelah dalam baju.

Pemakaian samping juga menggambarkan status seseorang dalam masyarakat. Kaum kerabat mengikat samping pada belah kanan, golongan bangsawan pada belah kiri manakala orang kebanyakan pada bahagian tengah.

 

Iklan
Baju Melayu pakaian tradisi pelengkap Aidilfitri. Ini cerita di sebaliknya
Foto: Google

 

Secara ringkasnya, baju Melayu banyak membawa pengaruh Islam yang kuat dan sehingga kini menjadi kebanggaan kita.

Biar pun di banjiri dengan baju-baju moden dengan rekaan yang lebih ‘up-to-date’, hakikatnya masih ramai yang setia kepada baju Melayu tradisional. Jika kita tidak memartabatkan baju Melayu, siapa lagi?

 

Baca juga: Ketap dan jilat bibir antara ‘big no’. 3 tabiat ini perlu dijauhi