KUALA Lumpur dilaporkan dilanda banjir kilat sejurus hujan lebat petang semalam.

Antara tempat yang terjejas teruk adalah di Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang dan Jalan Gurney.

Di antara foto-foto banjir di Kuala Lumpur yang dikongsi warganet di media sosial, SinarPlus tertarik dengan satu ciapan seorang pengguna Twitter, Soon-Tzu Speechley yang memuat naik dua foto lama yang menunjukkan keadaan banjir besar di KL pada 1926 dan 1971.

Foto tersebut bertulis Kuala Lumpur dibina di pertemuan sungai Klang dan Gombak yang berlumpur. Inilah yang menjadikan terdedah kepada banjir. Inilah Bangunan Sekretariat Selangor (Bangunan Sultan Abdul Samad) semasa banjir besar pada tahun 1926 dan 1971.

Bah besar 1926 juga digelar sebagai ‘Bah Merah 1926’ yang dianggap bencana paling buruk kerana ia menyebabkan keseluruhan Kuala Lumpur tengelam.

Pada ketika itu, banjir turut melanda negeri-negeri lain termasuk Kelantan, Terenganu dan Perak menyebabkan kemusnahan kediaman, jalan raya dan tanaman.

Banjir besar 1926 turut meranapkan Istana Sri Sayong yang terletak di tebing Sungai Perak sehingga terpaksa diganti baru dengan Istana Iskandariah.

Bagaimanapun tidak banyak rekod diperoleh mengenai bencana tersebut kerana ketika itu Tanah Melayu diperintah British.

Artikel berkaitan: 5 kawasan terjejas teruk banjir kilat, kedai mamak tenggelam tapi pelanggan tetap setia nikmati hidangan

Selepas itu, negara kita sekali lagi dilanda banjir terburuk pada 1971 setelah hampir 50 peratus kawasan Kuala Lumpur tenggelam.

Ketika itu, Sabah dan Sarawak turut mengalami banjir besar berikutan hujan lebat yang turun tanpa henti selama seminggu.

Banjir berlaku sepanjang bulan Januari 1971 itu menyebabkan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terpaksa mengisytiharkan darurat dan menubuhkna dua jawatankuasa kabinet yang berperanan memberi bantuan dan melaksanakan pemulihan banjir.

Negeri paling teruk dilanda banjir itu ialah Pahang terutama daerah Pekan, kawasan Parlimen diwakili Tun Razak.

Iklan

Banjir hanya surut seminggu kemudia selepas mengorbankan sebanyak 57 orang dan menyebabkan kerugian harta benda kira-kira RM84.7 juta.

Dikatakan, banjir pda 1926 dan 1971 berlaku kerana kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak.

Ia terbukti kemudian apabila kerajaan selepas itu mengambil langkah segera memperluaskan longkang, sungai, empangan dan tali air.

Iklan

Selepas banjir 1971, kerajaan juga menubuhkan Suruhanjaya Tetap Kawalan Banjir, mewujudkan pelan induk saliran untuk bandar-bandar utama dan memperkenalkan sistem amaran banjir. Ketiadaan infrastruktur saliran sempurna menyebabkan banjir.

Sistem saliran yang direka tidak mengambil kira faktor cuaca luar biasa yang mungkin berlaku berpunca daripada pemanasan global.

Sumber: alamcyber2020