WABAK Covid-19 menular dengan pantas sehingga mencatatkan peningkatan kes harian yang ketara. Bayangkan, daripada ratusan, kini jumlahnya mencecah hampir 9,000 kes jangkitan positif setiap hari.

Jumlah kematian pesakit akibat koronavirus juga mencatatkan rekod tertinggi. Ia bukan sahaja menyerang golongan berusia dan berpenyakit kronik, malah anak muda tanpa rekod kesihatan serius pun menjadi mangsa virus jahat terbabit.

Direkodkan sebanyak 8,2019 kes baharu dan 103 kematian direkodkan semalam. Jumlah kes tertinggi adalah sebanyak 9,020 kes pada 29 Mei 2021 manakala kematian tertinggi pula pada 2 Jun 2021 dengan jumlah 126 kes.

 

Pertambahan kluster baharu membabitkan tempat kerja salah satu punca kes naik mendadak.

Bertambah parah, kehadiran varian Afrika Selatan, UK, India dan Nigeria yang mana tiga daripadanya mudah berjangkit dan dikenali sebagai Variant of Concern (VOC).

Kebanyakan dijangkiti VOC tidak menunjukkan gejala, bahkan ujian saringan Covid-19 juga mencatatkan keputusan negatif sekalipun ada pesakit sudah berada pada tahap kritikal.

Ia merebak dengan lebih cepat dan dikaitkan kadar kematian yang tinggi.

Kelesuan pandemik (pandemic fatigue) menyebabkan masyarakat kini mula lalai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga penguatkuasaan sukar dijalankan.

Ini semua menjadi cabaran buat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Dalam ciapan Twitter, KKM seolah-olah memberi bayangan sistem kesihatan negara bakal lumpuh dalam masa terdekat andai sekatan pergerakan menyeluruh tidak dilakukan.

“Sistem perkhidmatan kesihatan negara boleh lumpuh menjelang 5 Jun ini sekiranya sekatan pergerakan menyeluruh tidak dilakukan. #Covid19,” tulisnya.

Iklan

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba juga bimbang dengan perkembangan terbaharu wabak terbabit.

“Kalau kita tak buat sesuatu pada 1 Jun, maka ramalan daripada graf Sier Model ini akan berlaku.

“Sekarang kita boleh nampak keputusan yang baik, naik dan plateau beberapa hari ini. Ini saya katakan sebagai cahaya di hujung terowong,” katanya.

 

 

Selain itu, beliau turut menambah kes jenis sporadik iaitu kes individu tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tidak berhubung dengan kontak rapat Covid-19, tetapi disahkan positif.

“Kes sporadik lebih banyak daripada kes kluster yang mana 60 peratus ialah sporadik manakala 40 peratus kluster,” tuturnya kepada media.

Iklan

Apa yang lebih membimbangkan kini ialah kapasiti fasiliti kesihatan juga hampir lumpuh apabila jumlah purata jangkitan meningkat 13,000 kes dalam masa tujuh hari.

 

 

Diharapkan kerajaan dapat berbuat sesuatu untuk memastikan sistem kesihatan Malaysia berfungsi dengan baik walaupun sedang menghadapi gelombang Covid-19 yang memuncak.

Jangan sampai kita jatuh terduduk, bangkitlah semua. Rakyat perlu terus memainkan peranan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sumber: KKM