RAMADAN yang disambut seluruh umat Islam khususnya di Malaysia pada kali ini pastinya berbeza kerana pada masa yang sama perlu melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ke-4 hujung bulan ini.

Seperti kebiasaannya, beberapa hari sebelum Ramadan, banyak perancangan dan persiapan kerohanian termasuk rutin harian dilakukan pelbagai pihak, tidak kurang juga bagi golongan peniaga bazar Ramadan yang pasti mulai sibuk merancang perniagaan serta membeli barangan keperluan jualan.

Namun, keadaan pastinya tidak sama bagi tahun ini apabila para peniaga rata-ratanya beralih kepada alternatif jualan secara dalam talian sepanjang bulan Ramadan.

Apa yang dapat diperhatikan, pelbagai kumpulan bazar Ramadan di seluruh negara telah diwujudkan dalam laman sosial Facebook.

Hanya dengan menaip perkataan bazar Ramadan pada ruangan carian Facebook, tentunya pelbagai nama kumpulan akan tertera antaranya Bazar Ramadan Online (BRO) Ampang, Batang Kali, Shah Alam, Seremban, Ipoh, Taiping, Satok-Petrajaya, Semporna, Kuala Nerus, Dungun, Batu Pahat dan lain-lain kawasan.

Pelbagai juadah makanan dan minuman yang popular serta menjadi pilihan orang ramai ketika berbuka puasa antaranya bubur lambuk, martabak, roti John, sup ‘gearbox’, ayam percik, air katira, cendol, popia basah, kuih tepung pelita dan sebagainya kelihatan mulai meriah diiklankan serta dipromosi para peniaga dalam kumpulan masing-masing.

Beberapa promosi yang menarik perhatian antaranya daripada peniaga martabak dengan nama Murtabak King Ganu yang menulis “Murtabak KiNG Padu! sutir (sebiji) boleh makan tiga, empat orang kenyang nyandor (tersandar)! murtabak penuh isi confirm (pasti) puas hati, cash-on-delivery (COD) kawasan Marang dan Kuala Terengganu”.

Peniaga roti John di BRO Hulu Selangor pula menulis: “Para penggemar roti John Cheese Gedebuk! you make order we deliver (anda pesan, kami hantar)”.

Iklan

Tidak kurang meriah juga apabila terdapat ramai pembeli yang mencari juadah kegemaran dalam kumpulan-kumpulan bazar Ramadan dalam talian di laman sosial itu.

Sementara itu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan dalam laman rasminya turut mengeluarkan beberapa garis panduan bagi keselamatan makanan sebagai rujukan penyediaan makanan bagi pengusaha makanan dari rumah (Home-Based).

Antara syarat asas yang perlu dipatuhi seseorang pengendali makanan ialah telah mendapatkan suntikan vaksin antitifoid, amalkan kebersihan sepanjang mengendali makanan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, menggunakan penyepit atau sarung tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta persekitaran memasak termasuk alatan penyediaan yang digunakan adalah bersih.

Iklan

Selain itu, penyedia makanan perlu mendapatkan bekalan bahan mentah seperti ayam, ikan, daging dan sayur daripada sumber yang diyakini bersih serta masakan juga perlu dimasak dengan sempurna serta dibungkus dengan baik menggunakan pembungkus bersesuaian.

Sinar Plus juga mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam yang menyambut bulan Ramadan pada tahun ini. #PastiAdaSinar