AMALAN kerja dari rumah merupakan satu norma baru yang mesti diamalkan dalam sektor pekerjaan akibat daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Sebenarnya konsep bekerja dari rumah (BDR) bukanlah fenomena baharu. Ia merupakan satu bentuk pengaturan kerja fleksi yang bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi organisasi, malah ia boleh meningkatkan kepuasan kerja khususnya dalam kalangan wanita berkeluarga yang berkerjaya.

Tinjauan SinarPlus melalui komen-komen di Facebook sebelum ini mendapati, ada dalam kalangan pekerja pernah diarahkan bekerja dari rumah oleh majikan sebelum ini namun terdapat juga pekerja yang pertama kali melalui pengalaman sedemikian.

Sehingga ada yang berhadapan dengan kesukaran apabila mesyuarat terpaksa dilakukan secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. Namun, demi mengekang penularan wabak kita semua perlu akur.

Kini, keadaan dilihat beransur pulih dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membolehkan kita kembali bertugas seperti sedia kala tanpa perlu lagi duduk di rumah.

Namun, kerajaan kini sedang mempertimbangkan secara mendalam untuk meneruskan pelaksanaan BDR sebagai amalan normal baharu dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Bagaimanapun, katanya ia memerlukan kajian lebih terperinci bagi memastikan ia dapat menepati hasrat pelaksanaannya.

“Terdapat dua objektif utama yang telah dikenal pasti iaitu untuk mitigasi risiko seperti pencemaran dan penularan penyakit, dan untuk menguruskan prestasi pegawai dengan mengimbangi keperluan kerja dan keluarga, serta meningkatkan kepuasan kerja dan produktiviti, ” katanya dalam satu wawancara bertulis hari ini.

Iklan

kerja di rumah

Antara aspek yang perlu diperjelaskan melalui kajian lanjut adalah keperluan sokongan teknologi digital, keselamatan maklumat, kesesuaian pelaksanaan kepada skim-skim perkhidmatan tertentu, serta implikasi perundangan yang terlibat.

Menurutnya selari dengan inisiatif kerajaan untuk menimbangkan pelaksanaan BDR sebagai suatu normal baharu, penilaian juga akan dilaksanakan ke atas beberapa kemudahan awam lain yang berkaitan terutamanya kemudahan-kemudahan cuti dan pelepasan.

Iklan

Katanya semua inisiatif berkenaan adalah usaha berterusan bagi memastikan penjawat awam dapat terus meningkatkan produktiviti mereka dalam konteks perubahan-perubahan faktor luaran yang terkini.

Mohd Zuki berkata pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan perkhidmatan awam boleh berfungsi dengan berkesan walaupun dengan pelaksanaan BDR dan BDR secara fleksibel.

“Bermula dengan pelaksanaan BDR secara arahan ke atas semua penjawat awam, ia kemudian berubah kepada pelaksanaan berlandaskan kes-kes tertentu.

“Dalam kedua-dua keadaan tersebut, impak kepada produktiviti penjawat awam adalah minimum dan perkhidmatan awam terus dapat menyokong pembukaan sektor ekonomi dan perniagaan.

“Dalam tempoh tersebut, sektor ekonomi dan perniagaan telah dapat beroperasi hampir 100 peratus untuk memastikan ekonomi negara dapat dilonjakkan dan ini dapat dicapai bila mana penjawat awam dapat terus melaksanakan tanggungjawab mereka melalui kedua-dua mod tersebut, katanya.

Jadi, bersediakah kita?