SEJAK bermulanya tempoh pergerakan terhad pada pertengahan bulan Mac lalu bagi memutuskan rantaian wabak jahat Covid-19, rata-rata dalam kalangan masyarakat kita giat mencari aktiviti yang boleh dilakukan di rumah.

Semestinya sangat bermanfaat, berkebun misalnya antara aktiviti yang popular dan menjadi plihan sepanjang tempoh tersebut.

Berbudi pada tanah. Itu juga aktiviti yang dianjurkan oleh Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria.

Melihat kepada keadaan tersebut, beliau berkongsi beberapa gambar pokok cili yang ditanamnya sendiri di rumah menerusi akaun Twitternya.

ANTARA pokok cili yang ditanam. Foto: @DrRozanizam.

Bukan hanya sekadar gambar… Dr Rozanizam turut berkongsi pandangannya iaitu belajarlah daripada falsafah pokok cili.

Kenapa?

Anak pokok cili akan dipatahkan pucuknya apabila sudah mula meninggi.

Apabila pucuknya dipatahkan, pokok akan mengalami stres lalu kesan daripada itu, ia akan lebih produktif dengan menghasilkan pucuk-pucuk baru (lebih daripada satu) dan muncul cabang-cabang baru.

“Hasilnya pokok itu akan lebih tegap, rimbun dan banyak hasil,” tulisnya.

Begitu juga kita, dalam kehidupan, keselesaan dan kemewahan tanpa ujian akan menjadikan kita kurang daya tahan dan kurang produktif.

Iklan

“Ujian dan dugaan akan membuatkan kita lebih panjang akal dan boleh meneroka peluang baru lalu keluar daripada zon selesa dengan mencari jalan untuk mengatasi kesukaran hidup,” tulisnya lagi.

Jika pokok cili bermula daripada anak pokok dan apabila sudah ‘dewasa’ baru memberi hasilnya.

“Begitu juga kita, anak-anak pun kena ajar susah supaya bila dah besar nanti tak manja, malas dan lemah,” kongsi Dr Rozanizam.

Iklan

Kongsinya lagi, sebab itulah beliau suka berkebun. Bukan setakat dapat hasil dapur tapi dapat juga hasil untuk jiwa.

Pesannya, jangan tegur jika nampak pekebun berbual dengan pokok. Anggap sahaja mereka tengah bertukar pandangan tentang hidup. Semoga bermanfaat!

Sumber: @DrRozanizam