PASTI mereka yang dah lama menunggu keputusan kes ini terkesima dengan keputusan mahkamah.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi membuat keputusan memerintahkan seorang remaja lelaki ditahan dipenjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada tahun 2017 yang lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas remaja itu yang kini berumur 19 tahun selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah atas 23 pertuduhan dengan sengaja membunuh 23 individu tersebut.

Remaja berkenaan berusia 16 tahun ketika kejadian. Menurut pertuduhan, remaja berkenaan bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Remaja berkenaan didakwa dengan 23 pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Kejadian yang menimpa mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada tahun 2017 yang lalu tidak boleh dilupakan dalam sejarah negara kita.

Oleh itu adalah penting supaya satu tindakan proaktif diambil bagi memastikan golongan remaja dalam negara kita tidak melakukan sebarang perkara yang bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat.

Boleh jejaskan negara

Justeru pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah akta khusus bagi mengawal tingkah laku antisosial dalam kalangan golongan muda khususnya remaja di negara ini.

Tidak dapat dinafikan, sudah banyak kali kita didedahkan dengan isu yang melibatkan permasalahan yang dihadapi oleh golongan muda dalam negara kita. Antaranya masalah buli, masalah gengsterisme, masalah penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, hisap rokok dan vape, dan lain-lain lagi.

Iklan

Sekiranya isu-isu ini dibiarkan begitu sahaja, maka ia akan menjejaskan masa depan ramai golongan muda dalam negara kita serta menjejaskan masa depan negara.

Apa yang lebih membimbangkan ialah ramai pihak yang tidak bersalah akan terdedah menjadi mangsa akibat masalah tingkah laku yang tidak boleh dikawal oleh golongan muda yang terlibat.

Pihak ibu bapa dan penjaga sepatutnya memainkan peranan bagi mengawal tingkah laku anak-anak mereka. Itu kerana mereka adalah pihak yang paling hampir dan lebih mengenali anak-anak mereka berbanding dengan orang lain.

Golongan ibu bapa dan penjaga juga merupakan pihak yang paling sesuai untuk mendidik dan mendisiplinkan anak-anak mereka sendiri. Namun demikian, mungkin atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan golongan ibu bapa dan penjaga ini tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya bagi mengawal tingkah laku anak-anak mereka. Akibatnya mereka tidak dapat melaksanakan sepenuhnya tugas dan tanggungjawab hakiki mereka itu.

Iklan

Masyarakat sekeliling pula sukar untuk memainkan peranan mereka untuk membendung kenakalan golongan bawah umur ini. Ramai takut akan dipersalahkan oleh pihak ibu bapa, penjaga dan orang lain sekiranya mereka memberi sebarang teguran.

Bendung secara berkesan

Pelbagai langkah boleh diambil bagi mengatasi masalah ini seperti melalui proses pendidikan dan melahirkan kesedaran dalam kalangan golongan muda mengenai kepentingan untuk bersikap toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Selain itu, kita juga perlu mengambil pertimbangan serius untuk mewujudkan satu bentuk undang-undang khas bagi membendung sebarang tingkah laku yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat timur seperti dengan mewujudkan “Akta Kawal Perlakuan AntiSosial”.

Kewujudan akta khas berkenaan adalah penting supaya sebarang isu yang berkaitan dengan perlakuan antisosial dalam kalangan golongan muda dalam negara kita dapat dikenalpasti pada peringkat awal dan dibendung secara berkesan.

Ia juga dapat merangka dengan terperinci tugas dan tanggungjawab beberapa pihak yang berkepentingan termasuk golongan ibu bapa dan penjaga untuk mengawal tingkah laku anak-anak mereka sendiri.

Pihak kerajaan boleh merujuk kepada peruntukan undang-undang kawal perilaku antisosial seperti yang telah dilaksanakan di United Kingdom melalui Anti-Social Behaviour Act 2003 mereka dalam merangka cadangan undang – undang ini dalam negara kita.

Untuk rekod, beberapa tahun yang lalu, pihak kerajaan pernah menyatakan hasrat untuk mewujudkan akta khusus berkenaan, namun sehingga kini tiada perkembangan terkini mengenai usaha untuk mewujudkan akta terbabit.

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Adalah diharapkan semua pihak yang berkaitan dalam negara kita mengambil serius di atas segala permasalahan yang berlaku khususnya dalam kalangan golongan muda dalam negara kita pada masa kini. Cari jalan yang berkesan dan segera bagi mengatasinya.

Oleh:
Dr Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dr Muzaffar Syah