DJ Radio Brunei share tip, rahsia setahun bebas Covid-19
TAHNIAH warga Brunei!
SETAKAT artikel ini ditulis bersamaan 28 Mei 2021, negara Brunei Darussalam dilaporkan sifar kes lokal jangkitan Covid-19 selama setahun.
Negara yang mempunyai 450,000 penduduk itu pertama kali merekodkan kes Covid-19 pada 9 Mac 2020. Bagaimanapun, pemerintah dan kerajaan pantas bertindak membendung penularan virus bahaya tersebut.
Apakah yang dilakukan oleh negara jiran sehingga mereka berjaya mencapai setahun bebas Covid-19 (kes lokal)? Adakah prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan berbeza dengan Malaysia?
Artikel berkaitan: Brunei Genap Setahun Bebas Koronavirus, Kes Tempatan Terakhir 6 Mei 2020
Jom ikuti kupasan lanjut sesi Live SinarPlus kendalian Addy Junaidi bersama Penyampai Radio Pelangi FM, Ashraff Rannil mengenai pencapaian negara Brunei setahun bebas Covid-19 (kes lokal) baru-baru ini.
Bagaimana keadaan Brunei ketika ini?
Alhamdullilah...bersyukur kepada-NYA kerana genap setahun Brunei Darussalam setahun bebas daripada kes lokal jangkitan Covid-19.
Kerajaan di bawah naungan Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pihak kerajaan dan agensi swasta telah menjalankan tugas masing-masing.
Terima kasih tidak terhingga juga kepada barisan hadapan yang sentiasa bertungkus-lumus dalam memastikan Brunei bebas koronavirus sepanjang setahun ini.
Pun begitu, rakyat Brunei masih mematuhi SOP seperti menjaga penjarakan fizikal dan memakai mask (pelitup muka). Jika tidak sihat pastikan tidak keluar rumah dan berada di kawasan sesak.
Apabila disebut genap setahun bebas daripada kes Covid-19, adakah itu bermakna zero (sifar) kes atau masih ada kes aktif di sana?
Pada 25 Mei 2021 dilaporkan terdapat enam kes aktif, tetapi semua kes import. Mereka ditempatkan di Pusat Pengasingan Kebangsaan daerah Tutong.
Bagi kes lokal pula kali terakhir adalah dicatatkan pada 6 Mei 2020.
Brunei berjaya mengekang penularan dengan begitu efisien. Boleh kongsikan apakah langkah-langkah dilakukan yang boleh dijadikan rujukan buat kami (Malaysia)?
Antara langkah yang dilakukan masyarakat Brunei, ke mana saja lokasi dikunjungi sama ada restoran, pusat beli-belah ataupun spa kami perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi BruHealth.
Ini termasuklah sentiasa mengemaskini aplikasi berkenaan bagi memudahkan proses pengesanan kontak dilaksanakan kemudian hari.
Selain itu, sekiranya kurang sihat tidak disarankan keluar rumah dan wajib memakai mask. Setakat ini rakyat Brunei akur dan mematuhi SOP ditetapkan demi kesejahteraan bersama.
Bercakap tentang SOP, bagaimana respon ataupun kerjasama daripada rakyat Brunei terhadap SOP ditetapkan kerajaan? Maklumlah, bukan semua orang berlapang dada untuk menerima normal baharu.
Alhamdullilah...saya berbangga mengatakan warga Brunei amat patuh pada SOP dikeluarkan. Hasilnya, dengan kepatuhan itu kami berjaya mencapai setahun tanpa Covid-19 (kes lokal).
Pun begitu, tidak dinafikan ada segelintir pihak termasuk diri saya sebelum ini mengeluh apabila tidak dibenarkan makan di luar dan menonton wayang.
Tapi, demi mencegah penularan virus itu kerana ia bukan perkara yang main-main, maka kami perlu akur SOP.
Adakah pandemik Covid-19 memberikan impak terhadap diri Ashraff?
Semestinya terkesan! Sebelum ini saya turut mengusahakan bisnes hostel di Capital Centre Bandar Seri Begawan.
Hanya kerana koronavirus sempadan Brunei ditutup, walhal bisnes saya sebahagian besarnya bergantung pada kemasukan pelancong di Brunei.
Jadi nak atau tidak, saya terpaksa shut down bisnes tersebut kerana tiada aliran keluar masuk dan tidak menguntungkan.
Bukan itu sahaja, saya sendiri berasa stuck kerana tidak berpeluang ke sana dan sini memandangkan dua bulan sekali lazimnya meneroka negara-negara luar.
Jadi, bayangkan selama setahun lebih saya terlalu rindu untuk melakukan aktiviti backpakers sehingga terlupa di mana saya simpan pasport dan beg kembara (ketawa). Kali terakhir saya melancong ke Pakistan dan transit di Kuala Lumpur pada hujung Januari 2020.
Apakah harapan Ashraff mengenai pandemik Covid-19?
Situasi ini amat menakutkan dan bukan konspirasi mana-mana pihak. Saya berdoa semoga Brunei, Malaysia dan seantero dunia segera bebas daripada koronavirus.
Foto: Instagram @ashrannil, Canva dan Forbes
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang