BARU-BARU ini tular sebuah rakaman yang dimuat naik di media sosial yang mana seorang wanita telah membuang dua ekor kucing yang dipercayai miliknya di tepi jalan.

Menurut sumber, wanita tersebut terpaksa berbuat demikian kerana anaknya didakwa menghidap masalah kesihatan iaitu semput selain gagal untuk mencari pemilik baru bagi haiwan peliharaan tersebut.

Pastinya perbuatan tersebut membuatkan warganet yang melihatnya berasa bengang dan kesal dengan perbuatan wanita berkenaan.

Rata-rata mereka berasa sedih kerana seolah-olah perilaku wanita itu seperti tidak mahu berusaha mendapatkan keluarga baharu buat kucing-kucing tersebut dan tidak endah dengan nasib si bulus malang tersebut.

Video tular tersebut dirakam sendiri oleh sepupu wanita terbabit malah turut mengaku tidak mampu menjaga si comel berkenaan memandangkan dia turut mempunyai alahan.

Tambahan pula Insiden itu juga turut mendapat perhatian dan dikongsikan di Facebook Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia dan membuatkan lebih ramai berasa tidak gembira atas perilaku individu berkenaan.

Menurut Persatuan Haiwan Malaysia, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembuangan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing meningkat tiga kali ganda.

Perkara itu dikesan berdasarkan maklumat terdapat kucing dan anjing baharu dalam satu-satu kawasan yang dijaga Pemberi Makan Haiwan Jalanan.

Menerusi keterangan Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM), mereka yang membuang haiwan peliharaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Iklan

Jika tertangkap dan disabitkan dengan kesalahan, hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM100,000 akan dikenakan terhadap si pelaku.

Ia jelas membuktikan tindakan segelintir individu yang membuang atau meninggalkan kucing dengan alasan haiwan berkenaan bukan milik mereka atau tidak mahu bertanggungjawab atas kelahiran anak haiwan terbabit adalah kesalahan.

Bukan itu sahaja, jika mengabaikan haiwan berkenaan dari segi keselamatan, makanan dan sebagainya, boleh didakwa.

Iklan

Pada akhir hantaran, pihak SAFM turut mengingatkan orang ramai supaya jangan menzalimi haiwan peliharaan masing-masing yang sepatutnya dianggap sebahagian daripada ahli keluarga sendiri.

Pihak mereka akan melanjutkan kes tersebut supaya dapat keadilan untuk kucing-kucing terbuang itu.

Sumber: Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia – SAFM