PELBAGAI persoalan timbul tentang bagaimana bermulanya nama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang diguna pakai sehingga hari ini.

Perkataan ‘Bomba’ hari ini digunakan mewakili mereka yang mempertaruhkan nyawa dalam menyelamatkan mangsa kebakaran.

Ia dikatakan bermula daripada perkataan ‘bomeiros’, bahasa Portugal yang membawa maksud pasukan pemadam.

Manakala menurut Kamus Dewan, perkataan bomba mempunyai dua maksud iaitu sejenis alat yang digunakan untuk mengepam air dan pasukan memadam kebakaran.

Bagaimanapun secara rasminya, perkataan ‘bomba’ datang daripada usaha menterjemahkan nama ‘fire brigade’ kepada nama dalam Bahasa Melayu.

Bermula tahun 1961, dengan bantuan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bulan Bahasa Kebangsaan, panel-panel penterjemah dipanggil untuk menterjemahkan perkataan ‘fire brigade’. Sekiranya terjemahan secara terus dilakukan kepada Bahasa Melayu dilakukan, nama yang akan diguna pakai adalah ‘pasukan api’ yang dirasakan tidak berapa sesuai

Selain itu, panel juga mencadangkan perkataan ‘gumba’ berdasarkan sejenis alat yang digunakan pasukan ‘fire brigade’ namun alat tersebut hanya mampu berfungsi sebagai pengepam air.

Selepas itu mereka menemukan perkataan ‘bombat’ yang membawa maksud ‘menumpukan’ yang dikatakan lebih bersesuaian, cuma kurang enak disebut atau didengari. Kemudian, panel dan beberapa individu terlibat menggugurkan huruf ‘T’ menjadikannya ‘bomba’.

Pada 8 Januari 1997, nama jabatan sekali lagi mengalami perubahan apabila Jemaah Menteri telah bersetuju mengubah nama Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Cadang ‘gumba’ jadi ‘bomba’, ini sejarah penting ramai yang tak tahu

Iklan

Bagaimanapun, yang menjadi misteri dan tanda tanya sehingga ke hari ini, ada beberapa sumber mengatakan bahawa penggunaan perkataan ‘bomba’ ini telah wujud lebih awal.

Terdapat satu surat bertarikh 12 September 1922 membuktikan bahawa perkataan bomba telah lama digunakan.

Surat tersebut ditulis oleh seseorang kepada pemerintah ketika itu memohon supaya pasukan ‘bomba ayer’ diletakkan di pekan Kulim, Kedah bagi mencegah kebakaran yang kerap berlaku di sana.

Iklan

Walau apa pun sejarah yang terkandung di sebalik perkataan BOMBA yang sehingga kini masih menjadi misteri, kita perlu ucapkan jutaan terima kasih buat mereka yang sedia berkhidmat apabila diperlukan.

Tak kurang juga ramai yang dilaporkan turut terkorban ketika menjalankan misi-misi menyelamat. Semoga anggota bomba di luar sana dipermudahkan segala urusan dan tak jemu berkhidmat demi masyarakat dan negara.

Sumber rujukan : iluminasi.com