BARU-BARU ini dunia dikejutkan apabila Pemerintah China dilaporkan telah mula menggunakan kaedah calitan dubur (anal swab) ke atas individu yang dianggap berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Penemuan kaedah terbaharu itu bukan bahan jenaka! Walaupun penggunaan kaedah calitan di dubur bagi mengenal pasti jangkitan Covid-19 mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pengguna media sosial, namun ia telah dibuktikan berkesan.

Memetik laporan CCTV, pegawai kesihatan melakukan ujian calitan dubur dalam kalangan penduduk di kawasan yang disahkan mencatatkan kes jangkitan Covid-19 di Beijing sejak seminggu yang lalu.

Calitan dubur bukan bahan jenaka! 5 sebab mengapa China guna kaedah anal swab

Menurut pakar-pakar perubatan China, mereka bersetuju mengguna pakai kaedah itu kerana :

  • Lebih tepat untuk mengesan kehadiran Covid-19 berbanding ujian calitan tekak dan hidung.
  • Virus Covid-19 bertahan lebih lama di dubur berbanding saluran pernafasan.
  • Telah terbukti berhasil dengan ujian yang dibuat terhadap penduduk di zon merah di Beijing yang menjalani tempoh kuarantin.
  • Kaedah itu membantu mengurangkan hasil ujian positif palsu.
  • Kaedah calitan dubur itu juga dapat meningkatkan kadar pengesanan individu yang dijangkiti virus berkenaan.

Bagaimanapun, menurut CCTV, kaedah swab dubur tidak akan dilaksanakan secara meluas seperti kaedah konvensional sedia ada yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Iklan

Hal tersebut kerana pesakit juga mendakwa kaedah itu dikatakan tidak begitu selesa jika dibanding dengan ujian swab di saluran pernafasan.

Sementara itu, warganet di China juga ada yang mengkritik langkah itu dan tidak kurang ada juga yang menjadikannya sebagai bahan jenaka.

Iklan

Pengguna platform media sosial di China, mereka turut memberi reaksi bercampur baur mengenai kaedah terbaru itu.

“Kaedah baru ini kurang sakit, tetapi sedikit memalukan,” komen seorang pengguna.

Selain itu, seorang pesakit yang dikatakan sudah mengalami pengalaman berdepan kaedah baru itu berkata, dia terpaksa meminta jururawat untuk menggunakan kaedah berlainan setelah dua kali ujian serupa dibuat ke atasnya.

“Saya sudah melakukan dua kali ujian calitan di dubur. Setiap kali saya melakukan ujian calitan pertama di dubur, saya meminta jururawat untuk melakukan ujian calitan kedua di tekak.

“Bukan apa, saya bimbang jururawat lupa untuk menukar peralatan baru kerana alat yang digunakan serupa,” katanya.