GARA-GARA seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan positif Covid-19, kini kumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis, Pahang, terpaksa menjalani tempoh kuarantin.

Mereka yang bakal menduduki peperiksaan besar tersebut bulan depan terpaksa akur dengan arahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana seramai 142 pelajar perempuan ditempatkan di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi manakala dua pelajar lelaki ditempatkan di asrama.

Situasi itu pastinya kini membimbangkan ramai pihak terutama ibu bapa tambahan pula sebelum ini kes serupa juga pernah dilaporkan yang mana seramai 36 pelajar yang akan menduduki SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sabah juga disahkan positif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kes itu dikenal pasti menerusi ujian saringan yang dijalankan sebelum pelajar terbabit dibenarkan kembali ke asrama bagi mengikuti sesi pembelajaran sebagai persiapan menghadapi peperiksaan awam berkenaan.

“Setakat 20 Januari, seramai 36 pelajar SPM dan STPM disahkan dijangkiti Covid-19 melalui saringan balik ke asrama mulai 16 Jan lepas,” katanya.

Nampaknya kerajaan harus segera mencari jalan untuk membuat ketetapan segera berkenaan perlaksanaan ujian saringan Covid-19 kepada para pelajar supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

Jika tidak, kluster pelajar sekolah atau kluster SPM tak mustahil akan wujud seperti yang pernah didakwa oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam posting di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

Menurut Saddiq, KPM seharusnya mengelakkan insiden Kluster SPM dari terjadi dan kes pelajar di asrama Sabah seharusnya diambil sebagai satu petanda awal kepada menteri pendidikan.

Dalam pada itu, Saddiq juga turut mempersoalkan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak mewajibkan pelajar IPT dan sekolah menjalani ujian saringan Covid-19 yang didakwa ia bukan satu langkah yang bijak.

Isu tersebut juga kini hangat diperkatakan di Twitter dan rata-rata orang ramai kini bimbang dengan situasi tersebut.

Iklan

Terdapat juga ciapan pengguna Twitter yang berkongsi kenyataan yang dipercayai dikeluarkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang mana calon yang gagal hadir pada tarikh peperiksaan tiada sesi ujian ulangan akan dibuat dan akan dianggap gagal.

Menurut kenyataan yang dikongsi itu, walaupun calon terpaksa menjalani rawatan akibat Covid-19, peraturan itu tetap dilaksanakan.

Tambah kenyataan itu lagi peraturan itu sebenarnya bukan hanya untuk pesakit Covid-19, malah telah sedia diguna pakai sejak STPM modular.

Iklan

Sebagai contoh, pelajar yang sakit atau kemalangan yang tidak menduduki peperiksaan kesnya adalah sama.

Kasihan mereka, diharap pihak kerajaan mampu melakukan sesuatu agar kerisauan orang ramai ini dapat penyelesaiannya dengan cara lebih baik.