Cara masyarakat India sambut perayaan Ponggal, PM sempat ucap selamat

A
A
A

HARI ini seluruh masyarakat India di negara ini menyambut perayaan Ponggal yang mana ia merupakan perayaan yang disambut selama empat hari bermula hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil bersempena musim menuai.

Perayaan ini adalah bertujuan penganutnya menandakan kesyukuran terhadap hasil yang diterima.

Ponggal adalah perkataan Tamil yang bermaksud 'mendidih susu sehingga melimpah' yang merupakan simbolik hidup seseorang akan dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan.

Cara masyarakat India sambut perayaan Ponggal, PM sempat ucap selamatPerdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga hari ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Ponggal kepada kaum India yang meraikan sambutan itu.

Dalam hantaran Facebook rasmi beliau, Muhyiddin berharap mereka masih dapat meraikan sambutan itu bersama-sama keluarga walaupun tiada aktiviti kunjung-mengunjung dapat dilakukan.

SinarPlus kongsikan sedikit info berkenaan sambutan perayaan Ponggal.

Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai. Bulan Thai merupakan bulan ke-10 di dalam kalendar kaum india.

Ia juga disambut dengan hadiah dan pakaian baru untuk ahli keluarga serta doa kepada dewa untuk kemakmuran pada tahun-tahun akan datang.

Menurut sumber, mengikut kepercayaan masyarakat India, bulan Thai juga sangat sesuai untuk membuat majlis perkahwinan.

Rumah-rumah mereka akan dihiasi dengan daun mangga dan lantai dihiasi dengan corak-corak yang dilukis menggunakan tepung beras atau beras berwarna. Ada juga yang mengikat batang tebu di luar rumah mereka.

Hari pertama

Hari pertama perayaan Ponggal dikenali sebagai 'Bhogi'. Ia hari untuk Indran iaitu Dewa Awan dan Hujan.

Sebelum matahari terbit, unggun api besar dinyalakan dan dibiarkan membakar sepanjang malam untuk membakar barang-barang lama.

Cara masyarakat India sambut perayaan Ponggal, PM sempat ucap selamatRumah kemudian dibersihkan dan dihiasi dengan corak dan bunga. Bhogi membawa maksud yang cukup signifikan menandakan permulaan penting dalam kehidupan masyarakat India dengan membakar barang-barang lusuh bagi menyingkirkan anasir-anasir buruk.

Hari kedua

Hari kedua pula dipanggil 'Thai Ponggal' yang khusus untuk Dewa Matahari. Ungkapan 'Ponggal' bermakna 'meluap-luap', ia menggambarkan hasil tuaian yang banyak.

Cara masyarakat India sambut perayaan Ponggal, PM sempat ucap selamatApabila susu sedang mendidih, ahli keluarga akan berkumpul di sekitar periuk dan melaungkan ucapan 'Ponggal-O-Ponggal' semasa susu mengalir keluar.

Hari ketiga

Hari ketiga, yang dikenali sebagai 'Mattu Ponggal' adalah khusus untuk haiwan lembu. Hari ini adalah untuk pengembala berterima kasih kepada ternakan mereka.

Cara masyarakat India sambut perayaan Ponggal, PM sempat ucap selamatMereka akan mewarnakan tanduk lembu dan menghiasi dengan pakaian dan topi logam bersinar. Lembu diberi makan 'Ponggal' dan loceng diikat di leher mereka.

Hari keempat

Hari terakhir pula dikenali sebagai 'Kaanum Ponggal', ia merupakan hari yang istimewa untuk wanita. Pada hari ini, wanita sulung di rumah akan bangun awal  dan menyapukan kunyit pada muka semua wanita muda dan melumurkan minyak kepada rambut mereka.

Selepas mandi, semua wanita-wanita akan menawarkan bebola nasi berwarna kepada burung-burung.

Cara masyarakat India sambut perayaan Ponggal, PM sempat ucap selamatKaum wanita akan berdoa untuk keluarga yang sihat dan gadis-gadis yang belum berkahwin berdoa untuk perkahwinan yang bahagia.Ahli-ahli keluarga yang lebih muda pula akan memberi penghormatan kepada orang-orang tua untuk mendapatkan restu.’

Sumber : perayaanindiact

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca