VIRUS Covid-19 yang mengundang kesan semua orang perlu patuh duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak jahat berkenaan pastinya menyebabkan golongan pencari kerja khususnya yang masih muda menjadi buntu.

Ya, pencari kerja kini berdepan cabaran baharu – bagaimana untuk mencari peluang pekerjaan di masa ketidakpastian.

Tambahan pula sekiranya anda mempunyai segulung sijil, diploma, ijazah, sarjana sekali pun PhD, takkanlah pengiktirafan diri yang ada hendak dibuat ‘pekasam’ sahaja.

Apa yang boleh dilakukan untuk memastikan pencarian kerja tanpa putus asa pada masa ini?

Berikut antara adaptasi kaedah yang diolah daripada perkongsian syarikat media global yang memberi tumpuan kepada teknologi, keusahawanan, kepimpinan dan gaya hidup, Forbes:

1) Tetap terus mencari kerja

Musim wabak dan perlu berada di rumah bukan bermakna anda hanya boleh merehatkan diri! Usaha pencarian pekerjaan anda harus diteruskan seperti biasa.

Teruskan menghantar permohonan anda dan ‘menggilap’ resume serta surat lamaran untuk mendapat sesuatu pekerjaan.

Sekali pun sesebuah syarikat itu perlu untuk menghentikan sementara pencarian pekerja semasa wabak korona ini, pastinya peluang akan terbuka ketika operasi kembali normal dan mereka perlu mengisi seseorang untuk sesuatu jawatan.

Jangan bimbang jika pekerjaan itu tidak menyebut berapa jarak antara rumah anda sebagai pemohon dengan tempat bekerja.

Penyenaraian permohonan baharu barangkali mencerminkan perubahan yang akan dibuat oleh syarikat untuk memindahkan tenaga kerja mereka.

Tambahan pula kebanyakan kerja pada masa ini boleh dilakukan dengan hanya di hujung jari. Mungkin ada peluang anda di situ.

2) Bina rangkaian diri anda

Sekarang adalah masa untuk anda menonjolkan diri anda lebih daripada sebelumnya. Binalah rangkaian diri anda.

Jika berhasrat bekerja di luar negara, wujudkan profil LinkedIn dan aktif di situ kerana anda memerlukannya. LinkedIn adalah tempat untuk anda mendapatkan khidmat nasihat dan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun kalau berhasrat hanya bekerja dalam negara, terdapat banyak laman web pencari kerja. Lazimnya anda perlu mengisi resume terus di situ.

Begitupun, sebagai langkah berjaga-jaga, seeloknya sebelum mengisi data peribadi, semaklah sama ada laman web berkenaan berdaftar atau menjalin kerjasama berkaitan dengan agensi kerajaan.

Ambil kesempatan masa yang ada di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk bukan hanya mengemas kini profil, tetapi melibatkan diri dengan menyertai sesuatu forum atas talian, perbincangan dan berkongsi ilmu. Jangan takut untuk meminta bantuan atau nasihat – itulah rangkaian anda.

Mana tahu kredibiliti dan kelebihan diri anda dapat dilihat di situ sehingga ada yang membuka peluang pekerjaan buat anda.

Pada masa ini, laman sosial seperti Facebook, Instagram, malah TikTok juga antara medium anda boleh menonjolkan kelebihan diri.

Namun begitu, tidak perlulah memperbodohkan diri. Pastikan ia dilakukan dengan cara profesional ya!

3) Terlibat dengan orang lain

Dengan berjuta-juta orang yang bekerja dari rumah, ia mewujudkan cara baharu untuk berhubung dengan orang lain.

Terdapat beratus-ratus pilihan medium rangkaian dari bidang pendidikan sehinggalah ke sosial, jadi memanfaatkan sepenuhnya rakan-rakan maya yang anda temui.

Cari keseimbangan secara profesional dan dalam masa sama bersosial dengan berkomunikasi bersama mereka yang dalam bidangnya. Biasanya di laman forum dan laman sosial berkaitan, terdapat ruangan komen.

Dengan berbual bersama mereka yang profesional, tidak mustahil jika anda mendapat idea di situ. Bahkan mungkin ada yang membuka peluang pekerjaan buat anda.

Mana tahu cara berkomunikasi secara santai itu sekali gus mampu meningkatkan mood anda, membantu mengurangkan tekanan yang tidak menentu pada masa sekarang.

4) Biasakan diri untuk selesa bercakap di telefon

Tidak mustahil video dan panggilan telefon kini menjadi cara kebanyakan syarikat mengadakan temubual, seperti sudah dimulakan di luar negara.

Iklan

Hantar surat-menyurat permohonan pekerjaan melalui e-mel, kemudian telefon dan mungkin temubual akan diadakan dengan video.

Sekiranya anda tidak yakin bercakap di telefon, dapatkan beberapa rakan untuk membantu berlatih dengan beberapa panggilan.

Bukan sepanjang masa anda perlu ‘berkepit’ dengan telefon bimbit, bukan? Pastikan mesej mel suara anda disediakan menggunakan bahasa dan suara yang profesional.

Sediakan sudut lokasi yang jelas dan sesuai untuk temubual video.

Tidak mustahil temubual video akan menggantikan interbiu empat mata. Jika itu perlu dilakukan, bersiapa sedialah dengan pakaian profesional, bersiap sedia lima minit lebih awal.

Periksa semua tetapan kamera dan audio anda lebih awal dan gunakan fon kepala supaya anda boleh mendengar dan didengar dengan jelas.

Ujilah ia sebelum anda ditemubual untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.

5) Belajarlah berniaga

Barangkali memang sukar mencari pekerjaan dengan syarikat atau orang lain pada masa ini. Apa kata dalam masa sama, anda cuba juga untuk belajar berniaga.

Setiap orang pasti mempunyai minat dan kelebihan diri. Gunakanlah kelebihan dan minat tersebut untuk berniaga. Entah-entah rezeki anda hanya dapat ditemui dengan berniaga.

Iklan

Cubalah! Tidak mengapa mulakan dengan merangkak, kemudian bertatih sebelum dapat berdiri dan berlari. Yang penting sentiasalah mencari ilmu.

6) Biarkan diri anda kecewa

Cabaran masa ini tidak mustahil boleh mengecewakan dan mungkin anda anda akan berdepan tekanan – itulah faktanya.

Benarkan diri anda berasa kecewa, tetapi jangan memendam perasaan itu. ‘Berjuang’ untuk beberapa minit dengan senaman, bermeditasi, hubungi rakan atau apa sahaja yang menenangkan anda. Kemudian kembali mencari kerja.

Pendek kata, pencari kerja sememangnya harus terus memohon pekerjaan pada masa ini. Orang yang paling berjaya ialah mereka yang bertahan semasa cabaran.

7) Berdoa

Sekiranya anda beragama Islam, kita harus akur bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan daripada-NYA. Jika anda sudah berusaha dan berdoa, kemudian bertawakallah.

Pastinya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Berdoalah supaya pulangan yang anda dapat adalah lebih baik.

Selamat mencuba!