ADALAH wajib bagi kita mendapatkan arah kiblat yang tepat sebagai syarat sah solat.

Justeru, jika bimbang akan kedudukan arah kiblat di kediaman peribadi tepat ataupun tersasar, maka korang boleh semak hari ini berikutan Istiwa Adzam.

Ia adalah satu fenomena yang mana kedudukan matahari akan berada tepat di atas Kaabah.

Fenomena ini berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei pukul 5.16 petang waktu tempatan manakala 16 Julai (5.28 petang) waktu tempatan.

Fenomena Istiwa’ Adzam apabila matahari berkedudukan tegak di atas Kaabah iaitu berada tepat di titik zenith (ghayah) semasa istiwa’.

Biarpun ramai menggunakan pelbagai aplikasi di telefon pintar bagi menentukan arah kiblat, tiada salah kiranya korang memanfaatkan peluang Istiwa’ Adzam.

Semasa fenomena berlaku, korang boleh menyemak arah kiblat pada waktu yang telah ditetapkan. Cara-cara untuk menyemak arah kiblat seperti berikut:

– Sediakan sebatang kayu dan letakkan ia dalam kedudukan tegak 90 darjah di kawasan lapang atau kawasan menerima cahaya matahari.

– Perhatikan bayang-bayang dan unjurkan garisan ke arah matahari.

– Bayang-bayang atau garisan yang terhasil akan menunjukkan arah kiblat.

Pada ketika itu, bayang-bayang objek tegak yang terhasil akan membetuli arah kiblat dan membantu umat Islam menyemak arah kiblat dengan betul.

Menghadap kiblat ialah menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentang. Rujuk Kasyifah al-Saja (ms. 197); al-Taqrirat al-Sadidah (ms.200).

Bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka terhalang melihat Kaabah, tidak memudaratkan sekiranya posisi kiblat agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada ain Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/217).

Berdasarkan keterangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kecenderungan tersasar sedikit ke kanan seperti mana yang disebut tidak memudaratkan kesahihan solat.

Namun, kami berpendapat kaedah yang paling baik ialah dengan menggunakan perkhidmatan Unit Falak Jabatan dan Pejabat Mufti di negeri yang surau pejabat berkenaan berada.

”Ini disebabkan penentuan kiblat menggunakan kompas mungkin mengalami sedikit perbezaan berbanding kaedah penetapan arah kiblat menggunakan arah matahari dengan bantuan alat-alat moden yang lebih tepat.

Iklan

“Pastinya dengan penentuan Unit Falak dan sijil yang dikeluarkan akan menghilangkan keraguan dan kontroversi yang berlaku lalu Jemaah boleh solat dengan lebih tenang dan khusyuk.”

Penentuan arah kiblat boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Pertama sekali, korang perlu mengetahui nilai azimut kiblat bagi lokasi kedudukannya.

Iklan

Bagi Malaysia, nilai azimut adalah pada antara 291 darjah hingga 293 darjah.

Antara kaedah menentukan kiblat adalah dengan menggunakan peralatan kompas, kaedah istiwa’ a’dzam, kaedah lintasan matahari se arah kiblat, kaedah pedoman suria (kaedah mendapatkan arah kiblat melalui kedudukan matahari harian), kaedah matahari terbit dan terbenam serta kaedah buruj bintang.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Selangor & Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Kedah