WARGA emas adalah golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

Ia disebabkan oleh faktor usia dan mempunyai komplikasi masalah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Sebagai anak, penting untuk kita ketahui kesihatan ibu bapa kita meskipun ada yang tinggal berjauhan dengan keluarga.

Tidak salah saling mengingati antara satu sama lain.

Ini beberapa perkara penting yang anda harus ingatkan insan tersayang yang kini berada di kampung selain mengamalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter:

1. Bekalan ubat mencukupi

Dalam keadaan sekarang kena pastikan supaya bekalan ubat tidak terputus dan sentiasa ada stok untuk beberapa minggu sebelum dapat ubat yang baru.

Lebih-lebih lagi, pada ketika cuti umum hari raya nanti, banyak farmasi yang tutup justeru perlu pastikan bekalan ubatan sentiasa ada di tangan.

Artikel berkaitan: PKP: Pesakit kronik tak perlu bimbang, perkhidmatan VAS kan ada

2. Makan ubat mengikut jadual

Dalam masa yang sama, pastikan ibu bapa anda yang mempunyai penyakit kronik makan ubat mengikut kekerapan dan kuantiti yang telah ditetapkan.

Jika terdapat sebarang masalah, segeralah berjumpa pakar dan berbincang mengenainya.

3. Kerap membasuh tangan dengan sabun terutamanya sebelum menyentuh makanan dan ubat-ubatan

Kita sedia maklum wabak Covid-19 akan mudah tersebar melalui tangan yang sudah tercemar dan menyentuh mana-mana permukaan yang kerap dipegang seperti tombol pintu.

Jadi, ingatkan mereka agar kerap membasuh tangan dengan sabun untuk pastikan tangan mereka sentiasa bersih dan tidak tercemar dengan bakteria.

4. Dapatkan rawatan segera meskipun bergejala ringan

Paling penting, ingatkan ibu bapa anda supaya segera mendapatkan rawatan meskipun hanya mempunyai tanda-tanda yang ringan seperti demam, batuk dan sukar bernafas.

Perkara tersebut dapat membantu tindakan awal diberikan kepada ibu bapa anda.

5. Makan makanan yang berkhasiat dan seimbang

Tidak lupa juga, makanlah makanan yang berkhasiat dan seimbang seperti mengamalkan konsep Suku-suku Separuh Kementerian Kesihatan dan pastikan juga diet yang diambil mengandungi karbohidrat, serat dan vitamin yang mencukupi.

Iklan

6. Kekal aktif dengan melakukan aktiviti fizikal senaman ringan

Bagi mengelak sebarang jangkitan, pastikan juga mereka melakukan aktiviti senaman ringan di rumah seperti berjalan-jalan di dalam rumah, berkebun dan melakukan pergerakan anggota yang ringkas.

Namun, ia bergantung kepada keupayaan diri masing-masing ya…

7. Terus kekal berada di dalam rumah

Jadi, ingatkan mereka untuk kekal berada di dalam rumah dan sebolehnya tidak perlu keluar jika tidak mempunyai sebarang keperluan.

Bagi memudahkan mereka juga, pastikan Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi yang ditawarkan dimanfaatkan sehabis baik.

Iklan

Antara tawarannya adalah:

1. Ubat melalui pos

2. Farmasi pandu lalu

3. Locker4U

4. Sistem temu janji farmasi

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia