KREATIF! Seorang penjual durian di Pulau Pinang dilihat berusaha lebih untuk memastikan pelanggannya dapat membeli raja buah sambil menjaga jarak sosial dalam usaha menghalang penularan pandemik Covid-19.

Seperti apa yang dilaporkan media tempatan, Tan Chee Wei membina tujuh sekatan kayu untuk membolehkan pelanggannya memilih durian yang mereka mahu dengan teliti sebelum membuat pembelian.

Selain sekatan kayu selebar kira-kira dua kaki yang dibina sendiri, penjual buah itu turut meletakkan tanda garisan jarak satu meter untuk penjarakan sosial pelanggan semasa beratur.

Wow ini baru betul patuhi SOP!

“Sekatan kayu ini untuk memisahkan setiap pelanggan dan mengelak daripada mereka berkumpul beramai-ramai di depan gerai. Hanya seorang pelanggan dibenarkan di satu ruang pada satu masa. Pelanggan juga digalakkan mendaftarkan maklumat mereka dan suhu badan mereka diperiksa sebelum dibenarkan membuat pesanan.

“Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan menjadi keutamaan dan saya yakin kaedah ini akan memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap perkhidmatan saya,” katanya.

Tan berkata, kos pemasangan sekatan itu hanya kira-kira RM300 tetapi dapat membantu memastikan keselamatan semua pelanggannya yang tidak ternilai harganya.

Tan, yang menjalankan perniagaan keluarga menjual durian dan buah-buahan lain di Paya Terubong, berkata pada masa ini, gerainya hanya menawarkan perkhidmatan bawa pulang.

Iklan

“Pelanggan boleh datang dan memilih jenis durian yang mereka inginkan dan kami akan membukanya supaya mereka dapat melihat isinya sebelum kami membungkus untuk dibawa pulang. Tidak ada perkhidmatan makan di sini,” katanya.

Selain beroperasi dari 9 pagi hingga 8 malam setiap hari, pelanggan juga boleh memilih secara online.

Iklan

Katanya, perkhidmatan penghantaran durian boleh didapati di lima daerah di Pulau Pinang dengan caj penghantaran minimum RM5, sementara bagi pelanggan di Kuala Lumpur perlu membayar caj penghantaran RM30 dengan pesanan minimum 10 kilogram.

Satu usaha yang boleh dianggap bijak, bertanggungjawab dan sempurna. Tahniah!